- Iklan -
Berita

Perlukah kemasukan pelajar ke universiti dihadkan?

Nilai ijazah mungkin turun ketika mencari kerja jika ramai memilikinya namun tidak semua masuk universiti sekadar untuk mencari pekerjaan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Pelajar ulangkaji di perpustakaan universiti di Johor dalam gambar fail ini. Gambar: AFP
Pelajar ulangkaji di perpustakaan universiti di Johor dalam gambar fail ini. Gambar: AFP

Ketika perdebatan mengenai gaji minimum kembali hangat, persoalan timbul mengenai kerelevanan pendidikan tertiari di Malaysia bagi memenuhi pasaran pekerjaan.

Perdebatan mengenai gaji minimum setakat ini menjurus kepada perbezaan kepentingan antara majikan dan pekerja.

Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) dan Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) sebagai contoh, menentang cadangan peningkatan gaji minimum kepada RM1,500.

Menurut mereka, ia akan membunuh syarikat-syarikat yang baru sahaja pulih daripada pandemik Covid-19.

Manakala Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pula menyatakan majikan seharusnya bersedia untuk kenaikan gaji tersebut.

Perdebatan yang tidak pernah tamat itu memberi isyarat faktor lebih mendalam yang mendasari masalah pasaran kerja antaranya lambakan graduan di pasaran kerja selain masalah pengangguran.

Menurut laporan Jabatan Statistik, seramai 5.46 juta graduan direkodkan pada 2020, meningkat 4.4% daripada 5.13 juta pada tahun sebelumnya.

Laman sesawang Studymalaysia.com pula memaklumkan, terdapat sekurang-kurangnya 20 universiti awam dan 47 universiti swasta di Malaysia setakat September 2019.

Selain itu, Malaysia turut mempunyai 34 kolej universiti dan 10 kampus universiti asing.

Ini membolehkan lebih ramai anak tempatan menyertai institusi pendidikan tinggi namun pada masa yang sama, terdapat kritikan bahawa akses mudah untuk memasuki pendidikan tertiari mengakibatkan turunnya nilai ijazah.

Pakar pendidikan Dzulkifli Abdul Razak berkata secara nisbahnya, institut pendidikan tinggi (IPT) dan universiti lebih banyak berbanding populasi.

“Ada universiti atau IPT ditubuhkan bukan atas asas ilmiah dan ilmu,” katanya kepada MalaysiaNow.

Dzulkifli yang juga rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, pendekatan pendidikan tertiari secara massa merupakan satu paradigma yang salah.

Katanya, pendidikan tertiari tidak boleh dilihat sebagai satu proses lambakan seperti kilang barangan.

Justeru, katanya, nilai ijazah akan “menurun” apabila hampir setiap orang mempunyai ijazah.

“Ijazah tidak dipandang majikan lagi. Yang penting sikap, keterampilan serta integriti sebagai ukuran.

“Ini tidak ditekan dalam pendidikan kita, berbeza dengan Jepun misalnya,” katanya.

Bagaimanapun, bagi pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia Anuar Ahmad berkata, pendidikan tertiari secara massa tidak menurunkan kualiti pendidikan atau nilai ijazah.

“Akses mudah kepada pendidikan tertiari sebenarnya satu perancangan yang baik. Ia tidak berhubung dengan turunnya nilai pendidikan atau sijil,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Kita mempunyai garis panduan jelas untuk memasuki universiti dan mempunyai syarat-syarat wajib yang perlu dipatuhi pemohon.”

Katanya, isu ketidakpadanan antara jenis pekerjaan dan kelayakan graduan berlaku kerana kepesatan dan perubahan dalam industri.

“Universiti dan industri kena bekerjasama dengan lebih rapat untuk pihak universiti tahu apa keperluan industri dalam masa tiga ke lima tahun.”

Anuar tidak bersetuju dengan cadangan mengehadkan kemasukan ke IPT dihadkan.

Ini kerana tidak semua masuk ke universiti untuk mencari kerja, sebaliknya ada yang benar-benar mahu mencari ilmu.

Sekiranya kemasukan universiti dihadkan, maka kerajaan dan majikan perlu membuka peluang untuk lepasan sekolah memasuki alam pekerjaan.

Dzulkifli berkata, golongan itu juga wajar difikirkan untuk diterima memasuki alam pekerjaan.

“Kita tidak perlu memperbanyakkan lagi sekolah dengan pengkhususan, sebaliknya pendekatan rentas bidang (transdisciplinary) yang lebih diperlukan sekarang untuk menyelesaikan masalah semasa,” katanya.

Felo kanan Institut Masa Depan Malaysia Habibah Abd Rahim berkata, perbandingan antara kelayakan sekolah dan universiti untuk memasuki alam pekerjaan tidak tepat.

“Graduan daripada sekolah berbeza tahap dengan graduan dari universiti. Sekolah lebih kepada penganugerahan sijil (seperti Sijil Pelajaran Malaysia), manakala universiti lebih menjurus kepada ijazah dan lebih tinggi.

“Jenis dan tahap pekerjaan yang boleh diceburi berbeza, besar kemungkinan graduan sekolah bukan bersaing dan mengisi pekerjaan yang sama dengan graduan universiti,” katanya kepada MalaysiaNow.

Bagi Dzulkifli, masalah lambakan graduan mungkin berpunca daripada dasar yang mendorong universiti menjadi vokasional, iaitu tempat melatih para pekerja.

“Universiti kilang pekerja dan pengemis, bukan pemikir dan pemimpin.

“Pendidikan tanpa roh,” katanya yang menekankan, situasi hari ini berlawanan dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang mahu melahirkan rakyat Malaysia yang seimbang.