- Iklan -
Berita

Kurang separuh populasi Melayu terima dos penggalak, kata Khairy

Carta liputan penerima dos penggalak mengikut kaum menunjukkan 48% populasi Melayu telah menerima dos penggalak.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Populasi Melayu adalah penerima dos penggalak paling rendah setakat ini menurut liputan dos penggalak mengikut kaum utama di Malaysia.
Populasi Melayu adalah penerima dos penggalak paling rendah setakat ini menurut liputan dos penggalak mengikut kaum utama di Malaysia.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini mendedahkan kurang daripada separuh populasi Melayu menerima dos penggalak ketika kerajaan sedang meningkatkan vaksinasi kanak-kanak berusia 11 tahun ke atas bulan ini.

Dalam sebuah ciapan Twitter, Khairy berkongsi sebuah carta yang mendedahkan liputan dos penggalak mengikut kaum setakat 10 Februari yang menunjukkan hanya 47.9% orang Melayu menerima dos penggalak sekali gus merkodkan peratusan paling rendah antara tiga kaum utama di Malaysia.

Sementara itu, masyarakat Cina merekodkan 81.3% diikuti India (56.4%).

Carta itu juga menunjukkan Sarawak mempunyai jumlah tertinggi penerima dos penggalak dalam kalangan Melayu sebanyak 80%, manakala Cina (85.2%) dan India (79.1%).

Bagaimanapun, di negeri-negeri lain termasuk Lembah Klang yang meliputi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, peratusan orang Melayu yang menerima dos penggalak adalah di bawah 65%.

“80% masyarakat Cina boosted. Namun perlu komunikasi yang lebih mantap di Facebook sebab Melayu kurang dari 50%. Sarawak terbaik.

“Pemberian dos penggalak harian mula meningkat semula. Dos penggalak memberi perlindungan yang baik terutama dalam gelombang Omicron,” kata Khairy dalam ciapan di Twitter hari ini.

Setakat semalam, 55.2% atau 12,926,703 individu dewasa menerima dos penggalak.

Sementara itu, 98% dewasa lengkap divaksinasi dan 99.2% lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.