- Iklan -
Berita

Putrajaya tambah lebih 4,000 jawatan tetap bagi doktor, ahli farmasi kerajaan tahun ini

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin juga berikrar akan mewujudkan sekurang-kurangnya 1,500 jawatan tetap setiap tahun sehingga 2025.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan Hospital Orang Asli Gombak, melakukan persediaan vaksin ke dalam picagari ketika program vaksinasi Orang Asli di sekitar daerah Hulu Langat tahun lalu.
Petugas kesihatan Hospital Orang Asli Gombak, melakukan persediaan vaksin ke dalam picagari ketika program vaksinasi Orang Asli di sekitar daerah Hulu Langat tahun lalu.

Lebih 4,100 jawatan tetap tambahan bagi pegawai perubatan diwujudkan tahun ini, dengan 1,500 jawatan lagi bagi setiap tahun dari 2023 hingga 2025, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Pada sidang media hari ini, Khairy berkata 4,186 jawatan tetap diwujudkan tahun ini merangkumi 3,586 pegawai perubatan, 300 pegawai pergigian dan 300 pegawai farmasi.

“Lantikan bagi jawatan tetap ini akan bermula Jun 2022.

“Sebagai tambahan, 800 jawatan tetap pakar perubatan dan 70 pakar pergigian setiap tahun bagi menampung keluaran pakar perubatan tetap di fasiliti KKM,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy berkata 800 lantikan tetap pegawai perubatan dan 70 pergigian pakar boleh dibuat setiap tahun secara “trade off” bagi mengisi kekosongan yang ditiggalkan pegawai yang akan dilantik menjadi pakar perubatan.

Menurut Khairy, semua jawatan tetap tersebut akan diiklankan secara terbuka pada bulan ini dan ia terbuka kepada yang tamat latihan siswazah, berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia, dan tiada kes tatatertib dan disahkan sihat untuk dilantik.

“Mereka akan melalui tapisan awal, dan proses ini akan dibuat secara telus, adil tanpa pilih kasih dan prosesnta akan diteliti ketua pengarah”

“Selepas itu mereka akan melalui temu duga yang kita mohon akan dikendalikan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA),” katanya sambil menambah pihaknya sedang menuggu jawapan SPA berkenaan perkara itu supaya ia boleh dijalankan badan bebas selain KKM.

Pengumuman Khairy hari ini dilihat memenuhi ikrar Putrajaya tahun lalu untuk mencari penyelesaian bagi beberapa masalah yang dibangkitkan oleh doktor kontrak.

Sebulan sebelum peletakan jawatannya sebagai perdana menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan dua tahun lanjutan kontrak bagi pegawai perubatan, pergigian dan farmasi, menyifatkannya sebagai langkah jangka pendek ketika penyelesaian jangka panjang yang lebih komprehensif sedang dirangka.

Muhyiddin berkata Kabinet turut bersetuju melanjutkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh maksimum empat tahun ke atas pegawai perubatan dan pegawai pergigian yang diterima mengikuti pengajian kepakaran dalam tempoh kontrak dua tahun pertama.

Sistem kontrak diperkenalkan bagi graduan perubatan, pergigian dan farmasi ketika Belanjawan 2017 dibentangkan di Dewan Rakyat oleh bekas perdana menteri Najib Razak yang memetik wujud kekangan bagi jawatan tetap ketika itu.

Pada Julai tahun lalu, sekumpulan doktor melancarkan Hartal Doktor Kontrak dengan mengadakan himpunan bantahan di Hospital Sungai Buloh, pusat rawatan utama bagi merawat pesakit-pesakit Covid-19.