- Iklan -
Berita

Sakit saya amat teruk, adakala tak harap untuk pulih, kata Dr Mahathir

Mahathir memberikan gambaran kesakitan yang dihadapinya ketika dimasukkan ke IJN baru-baru ini.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Dr Mahathir Mohamad bersiar-siar di sekitar tasik Putrajaya. Gambar: Twitter
Dr Mahathir Mohamad bersiar-siar di sekitar tasik Putrajaya. Gambar: Twitter

Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata beliau kadangkala tidak berharap untuk pulih daripada keadaan kesihatannya yang disifatkan sangat teruk, memberikan gambaran situasi yang beliau hadapi ketika dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam kemunculan keduanya di hadapan orang ramai selepas dibenarkan pulang ke rumah, bekas perdana menteri itu berkata keadaannya penyakitnya “amat teruk”.

“Saya telah pulih daripada satu penyakit yang bagi saya amat teruk, adakalanya saya tak harap nak pulih.

“Namun Alhamdulillah, dengan rawatan yang saya dapat dari IJN, saya pulih,” kata Mahathir yang bakal berusia 97 tahun pada Julai dalam sebuah video hari ini.

Gambar beliau bersiar-siar bersama isterinya Dr Siti Hasmah Mohd Ali turut dikongsi dalam akaun media sosial rasminya.

Mahathir dimasukkan sekali lagi ke IJN pada bulan lepas selepas menjalani prosedur elektif pada 7 Januari.

Sebelumnya, beliau dimasukkan ke IJN pada Disember di mana beliau menjalani beberapa pemeriksaan kesihatan.

Berita mengenai kesihatan beliau menarik perhatian seluruh negara dan majlis doa selamat khas agar beliau segera pulih turut diadakan.

Pada 4 Februari, pejabatnya berkata beliau telah dibenarkan pulang namun perlu berulang-alik ke IJN untuk rawatan susulan.

Dalam pada itu, Mahathir juga berkata beliau kini sudah dapat melakukan aktiviti harian walaupun pergerakan tubuh badannya tidak begitu kuat seperti sebelum ini.

“Saya boleh berjalan, saya boleh makan, saya boleh tidur, saya boleh duduk, saya hampir pulih seperti biasalah.”