- Iklan -
Berita

Perhilitan siasat dakwaan ‘pak belang’ berkeliaran di Perak

Siasatan mengenai kemunculan harimau di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands itu dimulakan malam semalam.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Aksi seekor harimau belang di Zoo Melaka. Bilangan spesies terancam kini dianggarkan 200 ekor di seluruh negara.
Aksi seekor harimau belang di Zoo Melaka. Bilangan spesies terancam kini dianggarkan 200 ekor di seluruh negara.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak sedang menyiasat dakwaan terdapat harimau belang yang berkeliaran di kawasan semak berhampiran Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini baru-baru ini.

Pengarahnya Yusof Shariff berkata pihaknya telah menghantar Unit Harimau ke lokasi berkenaan untuk tindakan lanjut.

“Siasatan sedang dijalankan selepas pihak kami mengesan video tular ini pada kira-kira pukul 10 malam tadi,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Video berdurasi 17 saat itu tular menerusi aplikasi TikTok menunjukkan seekor harimau berjalan di celahan semak samun di kawasan berbukit.

Pemilik media sosial itu turut mendakwa lokasi terbabit ialah selepas Cafe Banjaran yang terletak berhampiran kawasan rehat dan rawat serta meminta orang ramai berhati-hati.