- Iklan -
Berita

Minit Zahid lanjut kontrak bukan satu arahan, kata bekas KSU KDN

Menurut Alwi Ibrahim, catatan minit Zahid pada surat lanjutan kontrak syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd bagi pelaksanaan sistem VLN bukan satu arahan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi.
Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa catatan minit Ahmad Zahid Hamidi pada surat pelanjutan kontrak syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) bagi pelaksanaan sistem visa luar negara (VLN) bukan satu arahan.

Bekas ketua setiausaha kementerian dalam negeri (KDN) Alwi Ibrahim berkata berdasarkan catatan minit oleh Zahid pada 18 Oktober 2016 yang dihantar kepadanya, ia adalah satu persetujuan.

Catatan minit itu menyatakan “Datuk Seri KSU/ Datuk PUU, saya tiada halangan pelanjutan kontrak tempoh enam tahun sehingga 31 Ogos 2025, seperti tercatat dalam perjanjian perkara 2.2.1 yang sedia ada. Sila sediakan perjanjian tambahan untuk merealisasikannya dengan kadar segera”.

Semasa disoal peguam Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili bekas timbalan perdana menteri itu, berdasarkan ayat pada perenggan 10 kenyataan saksi Alwi, 63, (catatan minit Zahid), ia bukan satu arahan tetapi persetujuan, Alwi menjawab: “Setuju.”

Zaidi: Apa pemahaman Tan Sri (Alwi) tentang minit Zahid yang menyatakan “merealisasikannya dengan kadar segera”?

Alwi: Pemahaman saya ia perlu dibuat dengan cepat.

Zaidi: Berapa cepat, seminggu, dua minggu?

Alwi: Bergantung kepada kontrak sesuatu kes.

Alwi juga bersetuju dengan Zaidi bahawa walaupun ia diminitkan (catatan minit Zahid) dengan kadar segera namun ia masih tertakhluk pada prosedur di KDN.

Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB sebagai dorongan untuk dirinya, selaku pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di China dan sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh kementerian dalam negeri.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Zahid didakwa sebagai menteri sama telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Perbicaraan di hadapan hakim Mohd Yazid Mustafa bersambung pada 7 Mac.