- Iklan -
Berita

Perundangan baru UK benarkan sekatan ke atas organisasi, individu Rusia

Kerajaan UK mahu meningkatkan sekatan terhadap syarikat yang berpihak dengan Kremlin.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki memakai pelitup muka berjalan di Kolomenskoye Park, di Moscow yang dipenuhi salji pada 21 Disember. Gambar: AFP
Seorang lelaki memakai pelitup muka berjalan di Kolomenskoye Park, di Moscow yang dipenuhi salji pada 21 Disember. Gambar: AFP

London sedang menggubal draf undang-undang yang akan membolehkan sekatan dikenakan ke atas mana-mana organisasi dan individu Rusia, kata Setiausaha Luar United Kingdom (UK) Liz Truss pada Ahad.

“Kami hanya boleh mensasarkan syarikat yang terlibat secara langsung menggugat kestabilan Ukraine.

“Kami mahu meningkatkan sekatan terhadap mana-mana syarikat yang berpihak dengan Kremlin, dan rejim di Rusia akan menjadi sasaran,” Sputnik memetik Truss sebagai berkata dalam temu bual untuk stesen penyiar UK Sky News.

Beliau menambah bahawa “tiada tempat persembunyian buat golongan kaya raya yang berpihak kepada Putin (Presiden Rusia Vladimir Putin), bagi syarikat Russia yang menyokong negara Rusia”.

Draf undang-undang mengenai sekatan yang lebih tegas ke atas Rusia dijangka dibentangkan di Parlimen UK pada Isnin.

“Ia pasti tidak mudah buat Rusia,” katanya.

Truss menambah bahawa London tidak menolak kemungkinan bahawa harta golongan kaya raya Rusia di ibu negara UK mungkin dirampas, sebagai sebahagian daripada sekatan lebih tegas terhadap Rusia sekiranya keadaan di sekitar Ukraine bertambah buruk ekoran ancaman Rusia untuk menyerang negara itu.

Ketika menjawab soalan bahawa sekatan itu mungkin menjejaskan pelabur British, Truss berkata bahawa “kebebasan dan demokrasi” adalah “lebih penting daripada isu kewangan”.