- Iklan -
Berita

Kajian pakar WWF mengenai populasi harimau selari dengan kenyataan pengarah perhutanan Kelantan

Dalam penemuan yang diterbitkan Universiti Cambridge, dua pakar memberi amaran supaya tidak mengaitkan bilangan harimau yang semakin berkurangan dengan pembalakan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Aksi harimau Malaya bersama pasangannya ketika berada dikawasan pameran Zoo Melaka. Kajian yang diterbitkan Universiti Cambridge mengatakan pembalakan hutan terpilih dapat membantu habitat spesies itu dan kajian ekologi dan sumber makanannya perlu dilakukan dalam usaha pemuliharaannya.
Aksi harimau Malaya bersama pasangannya ketika berada dikawasan pameran Zoo Melaka. Kajian yang diterbitkan Universiti Cambridge mengatakan pembalakan hutan terpilih dapat membantu habitat spesies itu dan kajian ekologi dan sumber makanannya perlu dilakukan dalam usaha pemuliharaannya.

Penemuan sebuah penyelidikan lapangan yang dijalankan selama beberapa bulan oleh dua pakar hidupan liar dari Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia menyimpulkan beberapa bentuk pembalakan hutan dapat membantu pemuliharaan populasi harimau Malaya yang semakin terancam, selari dengan kenyataan serupa pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan.

Semalam, Abdul Khalim Abu Samah dikecam oleh sesetengah pihak berhubung kenyataannya kawasan hutan yang ditebang mungkin baik untuk populasi harimau, ketika memberikan respons beliau berkenaan dakwaan bahawa aktiviti pembalakan di Kelantan menyumbang kepada pengurangan populasi harimau.

Khalim berkata kajian menunjukkan kawasan yang ditebang akan meningkatkan populasi harimau.

“Populasi harimau akan lebih tinggi, apabila berlaku pembalakan kawasan itu akan ditumbuhi anak pokok. Jadi kawasan itu akan dihadiri haiwan seperti kancil yang menjadi makanan harimau. Ia akan memudahkan harimau memburu mangsanya,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

Abdul Khalim Abu Samah.

Kenyataan itu dilihat senada dengan penemuan pakar hidupan liar Mark Rayan Darmaraj dan Wan Mohamad Shariff, yang mendirikan kem di Hutan Simpan Gunung Basor, Kelantan sebagai sebahagian daripada pemerhatian bagi kajian terhadap spesies harimau Malaya.

Kajian mereka turut meliputi kawasan seluas 120km, dibantu kamera perangkap infra merah yang diletakkan secara strategik dan berfungsi sepanjang masa selama sembilan bulan.

Berdasarkan bilangan bidikan kemunculan harimau sepanjang tempoh tersebut, pakar membuat kesimpulan bahawa kepadatan populasi harimau 30% lebih tinggi di kawasan pembalakan terpilih berbanding anggaran tertinggi yang pernah dinyatakan dalam kajian terdahulu di mana ia dijalankan di Taman Negara.

“Pembalakan terpilih sebenarnya boleh meningkatkan habitat harimau kerana gangguan kanopi hutan meningkatkan cahaya matahari ke lantai hutan sekali gus meningkatkan lebih banyak sumber makanan,” kata kajian yang diterbitkan oleh Universiti Cambridge tersebut.

Susulan itu, dua pakar itu menggesa penyelidikan segera dilaksanakan mengenai ekologi harimau dan mangsanya di hutan yang ditebang.

“Penyelidikan sedemikian akan membolehkan ahli pemuliharaan alam mengesyorkan garis panduan pengurusan mesra harimau bagi pengurusan hutan yang lestari dan sekali gus menyumbang secara signifikan kepada pemuliharaan harimau di Malaysia,” kata mereka sambil menambah kesan pembalakan terhadap populasi harimau “kurang diketahui”.

Mereka turut memberi amaran terhadap kecenderungan untuk menganggap pembalakan terpilih di hutan sebagai tidak baik dalam usaha pemuliharaan.

“Kekeliruan ini mungkin menyebabkan penyahwartaan hutan simpan dan seterusnya penukaran tanah hutan kepada kegunaan lain (contohnya seperti tanaman komoditi seperti kelapa sawit).

“Memandangkan harimau memerlukan habitat yang besar, kesan penukaran kegunaan tanah hutan sedemikian, akan membawa kepada pemisahan dan pengasingan hutan simpan, di mana ia akan menjejaskan daya tahan populasi harimau dalam jangka masa panjang di seluruh landskap hutan,” kata mereka.

“Kami berharap penyelidikan masa depan akan menonjolkan peranan hutan yang dibalak secara terpilih bagi usaha pemuliharaan harimau dan membantu dalam menyediakan garis panduan pengurusan hutan lestari yang mesra harimau di Malaysia.”

Penyelidikan lapangan itu dijalankan sebagai respons terhadap dakwaan bahawa Panthera Tigris, keluarga harimau Malaya, terancam akibat kehilangan habitat, penebangan hutan dan pemburuan haram, selain berkurangnya sumber makanan.

Hutan Simpan Gunung Basor yang terletak di Jeli dipilih untuk kajian lapangan itu kerana ia dianggap sebagai landskap pemuliharaan harimau “Kelas 1” namun ia menyaksikan aktiviti pembalakan sejak 1970-an.

“Kawasan tersebut berliku (150–1,840 m) dengan zon-zon flora dari hutan dipterokarpa pamah dan dipterokarpa bukit ke kawasan hutan bawah yang berbukit,” tambah kajian tersebut itu.