- Iklan -
Berita

Sebulan tutup kedai, dua sahabat bantu mangsa banjir Selangor di masjid

Muhammad Saiful Bahari dan Syarul Nizam Wahab merentas sempadan negeri dari Perak dan memulakan usaha mencuci kereta mangsa banjir Klang di perkarangan masjid sejak akhir Disember lalu.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Muhammad Saiful Bahari dan Syarul Nizam Wahab bersama-sama membersihkan bahagian dalam kereta yang ditenggelami air banjir sepanjang bah besar yang melanda Selangor baru-baru ini.
Muhammad Saiful Bahari dan Syarul Nizam Wahab bersama-sama membersihkan bahagian dalam kereta yang ditenggelami air banjir sepanjang bah besar yang melanda Selangor baru-baru ini.

Keadaan Masjid Bandar Bukit Raja di Klang, Selangor sunyi sepi.

Sebelum ini, bangunan itu telah memberi perlindungan kepada ratusan mangsa banjir yang melanda banyak kawasan di Selangor bulan lalu sehingga menyebabkan kemusnahan teruk.

Kini, mangsa banjir telah pulang ke rumah bagi menangani kesan air deras banjir yang menenggelamkan rumah di samping menyelamatkan harta benda mereka yang masih boleh digunakan.

Namun dua lelaki masih tetap berada di masjid ditemani pekerja yang sedang menggerudi dinding atau menukul sesuatu. Masjid itu dijangka siap sebelum umat Islam menyambut Ramadan pada April depan.

Sejak sebulan lepas, masjid itu telah menjadi “rumah” kepada dua sukarelawan banjir itu.

Muhammad Saiful Bahari dan Syarul Nizam Wahab yang mengusahakan kedai cuci kereta di Ipoh, Perak itu terdetik hati untuk membantu mangsa banjir selepas mereka terkesan dengan nasib malang yang menimpa mangsa pada pertengahan bulan lepas.

“Kami tinggal di perkarangan masjid sejak 28 Disember lepas untuk membantu cuci kereta mangsa banjir di kawasan parkir masjid,” kata Saiful kepada MalaysiaNow.

“Ketika itu, saya mencari tempat yang sesuai. Ramai yang mencadangkan pelbagai tempat tapi saya pilih masjid ini kerana kawasan yang luas dan pihak masjid pun bersetuju.”

Syarul dan Saiful menggunakan vakum pembersih khas untuk mengeluarkan kotoran akibat banjir baru-baru ini.

Pada Disember banjir besar tidak dijangka melanda sehingga menenggelamkan banyak tempat di bandar-bandar utama di Lembah Klang dan Selangor antara yang terjejas teruk.

Menurut Saiful, dia tiada masalah memberitahu isterinya untuk berkelana di Selangor selama sebulan bagi membantu mangsa banjir.

“Isteri pun faham, perkara ini (banjir) tak terjangka. Mangsa yang terjejas pun terlalu ramai,” katanya. Isterinya datang membantu setiap hujung minggu.

Katanya, ramai mangsa banjir mempunyai masalah mencari bengkel yang membaiki kereta kerana tidak dapat menampung jumlah kenderaan yang terjejas agak tinggi ketika banjir pada Disember lepas.

Ada juga bengkel yang hanya mahu membuat pembaikan penuh (full restoration) dan ini menyukarkan mangsa yang mungkin tidak mampu.

Lelaki berusia 31 tahun itu nekad menutup kedai cuci kereta miliknya di Ipoh selama sebulan bagi membantu mangsa banjir.

Saiful membersihkan dalaman kereta menggunakan penghembus udara.

Dia mengusahakan mencari sendiri empat buah khemah yang didirikan di kawasan parkir masjid itu, selain membawa peralatan cucian kereta dari Ipoh.

Bapa kepada dua anak itu berkata, lebih 30 kenderaan yang sudah dan sedang dicucinya secara percuma.

Pada mulanya, dia ingin menawarkan perkhidmatan pembaikian penuh (full restoration) namun akibat permintaan tinggi dan kekurangan kakitangan, dia terpaksa membatalkan perkhidmatan itu dan hanya menawarkan cucian dalam dan luar.

Saiful memilih pemilik yang tidak mampu dan benar-benar mahu menggunakan kenderaan secepat mungkin.

“Kita tanya pemilik apa masalah utama kenderaan itu. Kita periksa dan ‘dismantle’ bahagian apa yang rosak.

“Selepas cuci, kita akan buat pengeringan. Kita periksa semula dan pasang balik sebelum serahkan kepada pemilik,” katanya menerangkan proses mencuci kenderaan yang rosak teruk.

Pengalas kaki kereta dijemur di parkir masjid selepas dibersihkan.

Bagi Syarul, perkara yang mencabar ialah bahagian dashboard yang mempunyai banyak wayar.

“Fabrik kusyen kereta juga sukar kerana memerlukan tumpuan untuk mencucinya sehingga bersih,” katanya yang sudah empat tahun bekerja dengan Saiful.

Seperti Saiful, keluarga Syarul juga merestui peninggalannya untuk membantu mangsa banjir.

Bagi Saiful, meskipun terpaksa melupakan rezeki dari kedai cuci kereta buat sementara waktu, dia berpuas hati kerana dapat membantu mereka yang lebih susah dan sengsara.

“Saya dah berniaga dah masuk lima tahun. Sepanjang tempoh itu tak pernah buat program kebajikan. Kali ini sebulan kita tumpukan pada kebajikan, pada saya tiada masalah,” katanya.

Saiful turut berterima kasih kepada pihak pihak prihatin yang menyumbang wang dan makanan kepada usahanya itu.