- Iklan -
Berita

51 kluster pendidikan dikesan dalam tempoh 6 hari

66.2% dari 77 kluster baru yang dicatat dalam tempoh itu melibatkan institusi pendidikan dalam negara.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan memakai pakaian pelindung lengkap ketika menjalankan ujian saringan Covid-19.
Petugas kesihatan memakai pakaian pelindung lengkap ketika menjalankan ujian saringan Covid-19.

Sebanyak 51 kluster atau 66.2% daripada 77 kluster baru yang dilaporkan kementerian kesihatan Malaysia (KKM) untuk tempoh antara 15 Januari hingga 20 Januari 2022 melibatkan institusi pendidikan.

Rekod kluster pendidikan tertinggi dilaporkan pada 19 Januari lepas iaitu 16 kluster daripada 20 kluster baru yang dikesan, diikuti semalam (20 Januari) sebanyak 11 kluster pendidikan daripada 17 kluster baru. Pada 18 Januari pula, dari 17 kluster baru, 11 adalah kluster pendidikan.

Antara negeri yang melaporkan kluster pendidikan ialah Melaka apabila Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka mengesan penularan Covid-19 di dua buah kolej vokasional iaitu Kolej Vokasional Melaka Tengah (76 kes) dan Kolej Vokasional Abu Zahar (11 kes).

Di Sabah, antara kluster pendidikan dikesan iaitu kluster Jalan Kepayan Lama-Tambunan melibatkan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tambunan dan setakat ini 36 kes positif Covid-19 dikesan.

Di Kedah, antara kluster pendidikan yang dilaporkan termasuk kluster Dah Penyarum (115 kes) dan kluster Dah Jalan Merbau (52 kes) sementara di Pulau Pinang, kluster Jalan Sungai Nipah (83 kes).

Sementara itu, kes import Malaysia masih tiga angka dan semalam (20 Januari) sebanyak 522 kes import dilaporkan, terdiri daripada 426 warganegara dan 96 bukan warganegara. Jumlah kes import ini adalah yang tertinggi dilaporkan sejak Malaysia melangkah ke tahun baharu 2022.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WP KL) terus mencatat kes import tertinggi dan semalam sahaja melaporkan sebanyak 274 kes (kes harian baharu 202). Kes import tinggi yang lain sepanjang tempoh ini adalah pada 16 Januari (145 kes), 18 Januari (135 kes) dan 19 Januari (136 kes).