- Iklan -
Berita

Mangsa banjir meningkat di 5 negeri

Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Sabah terus menyaksikan peningkatan jumlah mangsa banjir selepas hujan berlarutan.

Bernama
3 minit bacaan
Kongsi
Bot digunakan bagi menyelamatkan mangsa banjir di Pahang. Sembilan daerah termasuk Bentong, Raub, Lipis, Jerantut, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan antara yang paling teruk dilanda banjir. Gambar: Bernama
Bot digunakan bagi menyelamatkan mangsa banjir di Pahang. Sembilan daerah termasuk Bentong, Raub, Lipis, Jerantut, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan antara yang paling teruk dilanda banjir. Gambar: Bernama

Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Sabah terus mencatat peningkatan pagi ini berbanding semalam.

Di Pahang, hujan berterusan menyebabkan pertambahan mangsa iaitu 2,188 masih berada di 51 PPS pada awal pagi ini, melibatkan lapan daerah, menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

Daripada jumlah itu, 1,421 orang adalah mangsa banjir gelombang kedua dengan daerah Lipis mencatatkan mangsa paling ramai iaitu 553 orang diikuti Rompin (340 orang) dan Raub (278 orang) dan selebihnya dari daerah lain.

Lapan jalan ditutup akibat dinaiki air antaranya Jalan Sungai Lembing di Kuantan, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan (Maran), Jalan Kuantan-Segamat (Pekan), Jalan Temerloh-Jerantut (Temerloh) dan Jalan Bentong-Gua Musang (Lipis).

Laman web rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran pula melaporkan enam sungai berada pada paras bahaya iaitu Sungai Tanum di Chegar Perah di Lipis, Sungai Pahang di Paya Gintong (Jerantut) dan di Kuala Krau (Temerloh), Sungai Serting di Pdg Gudang (Bera), Sungai Luit di Kampung Subuh (Maran) dan Sungai Pukin (Rompin), manakala Jabatan Meteorologi meramalkan cuaca hujan sepanjang hari di semua daerah terjejas banjir.

Di Melaka, jumlah mangsa meningkat kepada 2,537 mangsa daripada 656 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 1,778 mangsa daripada 462 keluarga 8 malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka Cuthbert John Martin Quadra berkata kesemua mangsa terjejas adalah dari 14 kawasan di Alor Gajah, sembilan di Melaka Tengah dan sembilan di Jasin.

“Seramai 1,015 mangsa daripada 270 keluarga ditempatkan di 10 PPS di Alor Gajah, 1,391 mangsa daripada 356 keluarga ditempatkan di sembilan PPS di Melaka Tengah serta 131 mangsa daripada 30 keluarga ditempatkan di tiga PPS di Jasin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Di Johor pula, jumlah mangsa bertambah kepada 3,841 orang pagi ini berbanding 2,553 orang semalam dengan enam daerah kini terjejas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R. Vidyananthan berkata Mersing menjadi daerah terbaharu dilanda banjir dengan seramai 366 mangsa daripada 90 keluarga ditempatkan di enam PPS.

Sementara di Sabah jumlah mangsa terus meningkat kepada 2,435 dari 874 keluarga setakat pagi ini berbanding 1,823 mangsa daripada 599 keluarga malam tadi.

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan setakat ini sebanyak 23 PPS dibuka enam daerah di negeri ini sejak Jumaat lepas.

Daerah yang terjejas banjir termasuk Kota Marudu seramai 1,973 mangsa daripada 520 keluarga ditempatkan di 12 PPS, daerah kecil Paitan 97 mangsa daripada 23 keluarga di tiga PPS.

Selain itu di Pitas, 79 mangsa daripada 22 keluarga di dua PPS, Sandakan (197 mangsa daripada 42 keluarga) di dua PPS, Telupid (51 mangsa, lapan keluarga) di dua PPS dan Beluran (38 mangsa, 10 keluarga) di satu PPS.

Di Negeri Sembilan, data terkini menerusi aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan jumlah mangsa banjir membabitkan 22 PPS di negeri ini meningkat kepada 2,041 individu daripada 554 keluarga setakat 7 pagi ini berbanding 1,892 individu dari 505 keluarga malam tadi.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan Wan Hasnan Wan Musa berkata sebanyak 15 laluan melibatkan beberapa daerah di Negeri Sembilan ditutup untuk semua kenderaan dan hanya tiga dibuka untuk kenderaan berat termasuk di Tampin susulan jalan runtuh dan dinaiki air setakat tengah malam tadi.

Di Terengganu, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata jumlah mangsa banjir kekal 137 orang daripada 42 keluarga pagi ini di dua PPS di Dungun.

“Dua PPS yang masih beroperasi ialah Dewan Orang Ramai Kampung Shukor yang menempatkan 68 orang daripada 20 keluarga dan Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja (69 orang, 22 keluarga).

Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal rasmi https://publicinfobanjir.water.gov.my pula memaklumkan hanya Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman, Kemaman merekodkan ketinggian melepasi paras amaran pagi ini.

Di Selangor, dua PPS di daerah Kuala Langat menempatkan 40 mangsa kembali dibuka semalam.

Dua PPS tersebut adalah Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang (25 mangsa) dan Balai Raya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Banting (15 mangsa).

Sementara itu, laman web publicinfobanjir.water.gov.my setakat 6.45 pagi tadi melaporkan kawasan Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat kini berada pada paras bahaya apabila mencatat 4.29m manakala Sungai Langat di kawasan Dengkil, Sepang berada pada paras amaran dengan ketinggian 7.07m.