- Iklan -
Berita

Bantuan boleh cecah RM61,000 kepada mangsa banjir hilang rumah, kata PM

Pemilik kenderaan Perodua dan Proton yang rosak akibat banjir turut diberikan diskaun 50% bagi alat gantinya.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Jentera berat digunakan untuk kerja-kerja pembersihan pasca banjir di Hulu Langat, Selangor.
Jentera berat digunakan untuk kerja-kerja pembersihan pasca banjir di Hulu Langat, Selangor.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata bantuan pemberian tunai kepada mangsa banjir oleh kerajaan setakat ini secara keseluruhannya boleh mencecah sehingga RM10,000 bagi setiap ketua isi rumah.

Malah, katanya bagi mereka yang mengalami kemusnahan rumah sama sekali, jumlah bantuan adalah jauh lebih tinggi dan boleh mencecah RM61,000.

Sedar kehidupan mangsa beberapa bulan mendatang amat mencabar dan memerlukan sokongan untuk bangkit semula, beliau berkata ini merupakan antara usaha kerajaan mengurangkan bebanan mereka tanpa perlu mereka mengeluarkan wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masing-masing.

Sebaliknya dengan bantuan itu, perdana menteri berkata mereka boleh terus mengekalkan simpanan masing-masing dan menikmati dividen tahunan sekitar 5% sekali gus merancang masa depan lebih baik selepas bersara.

“Saya berharap dengan pemberian ini sedikit sebanyak dapat memberikan sinar baru kepada Keluarga  Malaysia,” katanya dalam Perutusan Tahun Baru 2022 yang disiarkan di stesen-stesen televisyen tempatan, malam tadi.

Ismail berkata bantuan itu termasuk Bantuan Wang Ihsan sebanyak RM1,000 yang sebelum ini diumumkan dan mula diagih sejak 27 Disember lepas, hanya 10 hari selepas kejadian banjir melanda berbanding tempoh agihan bantuan-bantuan sebelum ini yang memakan masa sehingga enam bulan.

“Ini akan memanfaatkan lebih 45,000 ketua isi rumah. Angka yang akan menerima bantuan ini boleh bertambah ramai apabila kita selesai mengenal pasti mereka yang terkesan tetapi tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara. Setakat hari ini, seramai 20,000 ketua isi rumah telah menerima bantuan ini,” katanya.

Selain itu, beliau berkata bantuan juga termasuk baucar tunai sebanyak RM500 bagi pembelian barangan elektrik kepada setiap keluarga mangsa banjir untuk menggantikan barangan elektrik yang rosak akibat bencana banjir sepertimana diumum sebelum ini dan akan dilaksana bermula 7 Januari.

Katanya setiap mangsa juga ditawarkan pengecualian bayaran perkhidmatan tunda kenderaan dan upah baik pulih oleh Proton dan Perodua, di samping diskaun 50% ke atas alat ganti, manakala syarikat lain turut menyediakan perkhidmatan tunda kenderaan percuma dan diskaun sekurang-kurangnya 25 peratus ke atas alat ganti dan upah baik pulih di pusat servis berdaftar.

Ismail berkata kerajaan juga turut menyediakan baucar tunai sebanyak RM1,000 bagi tujuan pembaikan atau pembelian semua jenis kenderaan yang terkesan termasuk lori, kereta, motosikal dan lain-lain yang akan dimulakan bulan hadapan.

Beliau berkata bantuan tunai sehingga RM5,000 turut disediakan bagi setiap pembaikan rumah dan bagi kerosakan serius, kerajaan sendiri akan mengurus baik pulih rumah dengan kos sehingga RM15,000, manakala bagi yang tidak boleh diduduki, kerajaan akan membantu sehingga kos RM56,000 setiap unit yang dibina baru.

Selain itu, katanya memandangkan banyak sukarelawan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memberikan sumbangan peralatan kepada mangsa dan bagi mengelakkan pertindihan, kerajaan bersetuju memberikan wang tunai sebanyak RM2,500 setiap keluarga khusus untuk pembelian barangan keperluan.

Beliau berkata kerajaan komited memastikan bantuan-bantuan yang bakal disalurkan akan ditambah baik supaya lebih menyeluruh dan dapat segera disampaikan kepada mereka yang memerlukan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada agensi-agensi keselamatan, kakitangan kerajaan, NGO, sukarelawan serta individu-individu yang bertungkus lumus membantu dan menyelaraskan misi bantuan semasa banjir serta melakukan kerja-kerja pemulihan pasca banjir.

“Begitu juga bantuan dan sumbangan daripada sektor korporat termasuk GLC (Syarikat Berkaitan Kerajaan) dan GLIC (Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan). Anda semua adalah wira-wira yang tidak didendang. Syabas dan tahniah saya ucapkan,” katanya

Ismail berkata di sebalik tragedi dan kesedihan, musibah banjir ini telah menyerlahkan semangat Keluarga Malaysia iaitu kebersamaan dalam kalangan rakyat tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan pangkat.