- Iklan -
Berita

‘Long Tiger’, 3 rakan direman 4 hari

Keempat-empat mereka direman hingga 1 Januari depan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Lelaki Rohingya dikenali sebagai 'Long Tiger' bersama tiga rakan dipercayai bersubahat dalam usahanya melarikian diri direman hari ini.
Lelaki Rohingya dikenali sebagai 'Long Tiger' bersama tiga rakan dipercayai bersubahat dalam usahanya melarikian diri direman hari ini.

“Long Tiger”, lelaki etnik Rohingya yang ditahan semula semalam setelah melarikan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, Johor baru-baru ini, direman empat hari bermula hari ini sehingga 1 Januari oleh Mahkamah Majistret Tangkak.

Turut direman tiga individu dipercayai rakan lelaki berkenaan.

Perintah reman terhadap Abdul Hamim Ab Hamid, 32, dan tiga lelaki masing-masing berusia 36, 38 dan 46 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Analia Kamaruddin.

Penahanan Hamim di Kedah semalam akan membantu siasatan di bawah Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan manakala tiga lagi individu itu disiasat mengikut Seksyen 216 Kanun sama kerana menyembunyikan tahanan.

Semalam, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata Hamim ditahan semula kira-kira 3 petang, di Kedah.

Hamim melarikan diri dari lokap mahkamah itu pada 15 Disember lepas dipercayai meloloskan diri melalui pintu utama mahkamah pada 11.55 pagi sebelum perbicaraan kes di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan bermula.

Selain Seksyen 388 Kanun Keseksaan kerana pemerasan, dia juga masih berdepan dua perbicaraan bagi pertuduhan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol serta Seksyen 506 kanun sama kerana mengugut dan mengurung bekas pekerjanya.