- Iklan -
Berita

3 kes varian Omicron dikesan di Negeri Sembilan

Antara kes yang dikesan melibatkan kes import wanita tempatan yang pulang dari luar negara.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Penumpang penerbangan antarabangsa memakai pelitup muka dan pakaian lengkap pelindung bagi mengelak jangkitan varian Covid-19 Omicron di KLIA. Gambar: Bernama
Penumpang penerbangan antarabangsa memakai pelitup muka dan pakaian lengkap pelindung bagi mengelak jangkitan varian Covid-19 Omicron di KLIA. Gambar: Bernama

Tiga kes Covid-19 varian Omicron dikesan di Negeri Sembilan membabitkan kes import wanita tempatan yang pulang dari luar negara, setakat semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S. Veerapan berkata kes pertama melibatkan seorang wanita berumur 28 tahun, yang tiba dari Ireland melalui pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 15 Disember lepas.

“Kes disaring di pintu masuk KLIA dan dipakaikan gelang pengawasan pengesan digital sebelum menjalani kuarantin di rumah di Seremban. Keputusan kes adalah positif dan tidak bergejala selain wanita itu telah lengkap divaksinasi pada 13 Ogos lepas,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata kes kedua melibatkan wanita berusia 28 tahun, yang tiba dari United Kingdom melalui pintu masuk KLIA pada 14 Disember lepas dan disaring serta dipakaikan gelang pengawasan pengesan digital.

Menurutnya wanita yang juga telah lengkap divaksinasi pada 19 Mei lepas itu menjalani kuarantin di rumahnya di Seremban manakala keputusan kes adalah positif dan mempunyai gejala ringan.

Veerapan berkata kes ketiga pula melibatkan wanita berumur 29 tahun yang juga tiba dari United Kingdom di KLIA pada 16 Disember lepas, dan disaring dan dipakaikan gelang pengawasan pengesan digital.

“Kes diarah menjalani kuarantin di kediamannya di Port Dickson dan disahkan positif. Individu berkenaan juga mempunyai gejala ringan selain lengkap divaksinasi pada 30 Mac dan menerima dos penggalak pada 22 Oktober lepas,” katanya.

Beliau berkata kesemua kontak rapat kepada ketiga-tiga wanita itu dikenal pasti dan dilakukan ujian tindak balas polymerase chain reaction (PCR) serta diarahkan menjalani kuarantin kendiri.

Menurutnya keadaan kes pada masa ini adalah terkawal, dan beliau menasihatkan orang ramai untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta mengambil suntikan dos penggalak bagi meningkatkan imuniti badan.