- Iklan -
Berita

LHDN benarkan individu, majikan tangguh bayaran cukai

LHDN menyuarakan keprihatinan terhadap mangsa yang terpaksa berdepan kesukaran membuat bayaran ditetapkan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Beberapa negeri semenanjung dilanda banjir selepas hujan lebat bermula 18 Disember lalu.
Beberapa negeri semenanjung dilanda banjir selepas hujan lebat bermula 18 Disember lalu.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hari ini mengumumkan penangguhan bayaran cukai yang diberikan kepada individu dan majikan terjejas bencana banjir.

LHDN berkata pihaknya prihatin kepada mangsa yang terpaksa berdepan kesukaran membuat bayaran ditetapkan.

Menurut LHDN, tarikh bayaran anggaran cukai kena dibayar bagi bulan Disember 2021 akan dilanjutkan sehingga 31 Januari 2022.

Sementara bayaran bagi ansuran siasatan, audit dan pungutan guaman sivil bagi bulan Januari 2022 ditangguhkan sehingga Februari 2022.

Dalam pada itu, bayaran cukai bulanan atau cukai tahun taksiran semasa (PCB) dan cukai tertunggak (CP38) akan dilanjutkan sehingga 31 Januari 2022.

“Bayaran baki cukai dibenarkan penangguhan sehingga ke suatu tempoh yang dimohon oleh pembayar cukai,” kata LHDN dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut LHDN, pembayar cukai atau majikan boleh mengemukakan permohonan penangguhan bayaran itu sama ada melalui emel [email protected] atau borang maklum balas di laman sesawang rasmi mereka.

Banjir melanda lapan negeri di semenanjung selepas hujan berlarutan beberapa hari bermula 18 Disember.

Selangor adalah negeri yang paling teruk dilanda banjir di mana puluhan ribu menjadi mangsa di beberapa kawasannya termasuk Hulu Langat, Shah Alam dan Klang.

Setakat ini, banjir di seluruh negara memakan 48 korban dan beberapa lagi masih dilaporkan hilang.