- Iklan -
Berita

Krismas di Kelantan disambut penuh aman dan muhibah

Walaupun penganut Kristian di Kelantan adalah minoriti namun mereka berkata amalan agama itu tidak pernah diganggu sesiapa.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Aktiviti Caroling yang disertai penganut Kristian gereja Presbyterian Kota Bharu pada 2019.
Aktiviti Caroling yang disertai penganut Kristian gereja Presbyterian Kota Bharu pada 2019.

Sambutan Krismas tetap meriah di Kelantan yang mempunyai 95% penduduk Melayu-Islam dengan sambutan Krismas di gerejanya mengalu-alukan orang ramai tidak kira kaum dan agama untuk mempelajari agama Kristian.

Paderi sebuah gereja katolik di Kota Bharu, Francis Andrew, berkata hubungan antara umat Islam dan penganut Kristian di “Serambi Mekah” yang diperintah kerajaan PAS sejak 30 tahun lalu itu sangat mesra.

Katanya, pihak gereja terbuka kepada semua termasuk umat Islam untuk datang dan mengetahui lebih lanjut mengenai agama Kristian dan beliau juga sering dijemput hadir ke majlis anjuran Muslim untuk belajar mengenai Islam.

“Mungkin ia mengejutkan bagi sesetengah pihak,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Ada juga yang bersangka buruk kononnya penganut agama lain seperti Kristian tidak aman tambah-tambah lagi apabila menetap di negeri di bawah pentadbiran PAS.

“Itu semua tidak benar, kami sangat aman di sini, malah Kelantan adalah negeri yang ideal. Hubungan saya dengan pemimpin Islam di sini sangat baik.”

Menceritakan lebih lanjut, Andrew berkata, gereja Our Lady of Fatima yang terletak di Kota Bharu itu merupakan antara gereja tertua di Kelantan selepas ia dibangunkan pada 1950.

Beliau berkata, ia merupakan antara 12 gereja di kawasan tersebut dan satu-satunya gereja katolik di situ.

“Kami tidak pernah berdepan gangguan oleh mana-mana pihak.

“Kami juga pernah adakan perarakan di jalan raya dan mendapat kerjasama baik dari pihak polis negeri ini,” katanya.

SOP kurangkan kemeriahan

Gereja Our Lady Of Fatima Of The Holy Rosary merupakan antara gereja terlama dan satu-satunya gereja Katolik di Kelantan

Sementara itu, paderi Lim Khet Keang dari Gereja Presbyterian, berkata sambutan perayaan Krismas di Kota Bharu tetap meriah dengan caranya tersendiri apabila gereja itu kerap menganjurkan pelbagai aktiviti untuk komuniti itu.

Bagaimanapun, katanya, sambutan meriah itu dibuat sebelum penularan Covid-19 memandangkan pihak gereja perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan menghadkan kapasiti pengunjung.

“Dulu kami ada parti untuk kanak-kanak, persembahan, nyanyian dan tarian. Ia kemudian disusuli dengan jamuan makan beramai-ramai dan kami menjemput hampir 400 orang,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Selain itu adakan aktiviti ‘caroling’ dengan mengunjung dari rumah ke rumah penganut Kristian di Kota Bharu. Ia sangat seronok.”

Mengulas lanjut, penganut agama itu kemudian akan menghadiri ke gereja untuk menunaikan ibadat pada pagi Krismas.

“Disebabkan Covid-19, kami membatalkan semua program pada tahun lepas dan tahun ini.

“Kami hanya sambut perayaan secara beribadat pada 25 Disember di gereja,” katanya dan menambah kedatangan pengunjung dihadkan kepada 80 orang sahaja disebabkan SOP.

Tambahnya, mereka yang tidak dapat hadir ke gereja akan sertai secara maya menerusi aplikasi Zoom.

“Sejak komuniti ini mula wujud pada 1938, kami tidak pernah terima sebarang gangguan daripada pihak lain walaupun kami hanyalah sekadar golongan minoriti yang sangat kecil.

“Malah kedudukan gereja ini yang terletak hampir 500 meter dari sebuah masjid juga tidak pernah menjadi isu,” kata Lim yang sudah menjadi paderi hampir 30 tahun di situ.”