- Iklan -
Berita

‘Kerugian Forex lebih memalukan negara’, Najib mula serang Dr M

Bekas perdana menteri itu berkata beliau sentiasa mempromosikan kepentingan negara sepanjang karier politiknya.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak.
Bekas perdana menteri Najib Razak.

Najib Razak mempersoalkan ulasan panel hakim Mahkamah Rayuan hari ini ketika mereka menyampaikan kepurusan kes SRC hari ini, di mana transaksi RM42 juta dana ke dalam akaun banknya disifatkan sebagai tindakan “memalukan negara”.

Namun, sasaran serangan beliau dihalakan kepada Dr Mahathir Mohamad dengan merujuk kerugian pertukaran mata wang asing yang berlaku ketika pemimpin veteran itu mengetuai kerajaan, mengatakan ia adalah skandal yang membawa malu lebih besar terhadap negara.

“Jika anda mahu cakap tentang perkara yang memalukan negara, ada lagi isu-isu skandal lain, contohnya skandal berhubung pertukaran mara wang asing yang menyebabkan negara rugi sebanyak RM31 bilion.

“Bukankah itu satu isu memberi malu lebih besar kepada negara?” soal beliau pada sidang media dalam talian menyertai peguam belanya Muhammad Shafee Abdullah beberapa jama selepas gagal dalam rayuan bagi mengenepikan sabitan tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram berkait pemindahan RM42 juta dana dari SRC International ke dalam akaun bank peribadinya.

Ketika menyampaikan penghakiman hari ini, Abdul Karim Abdul Jalil bersama dua lagi hakim Mahkamah Rayuan yang sepakat mengekalkan keputusan bersalah oleh Mahkamah Tinggi terhadap Najib, merujuk penghujahan pembelaan semasa perbicaraan bekas perdana menteri itu yang mengatakan beberapa pinjaman berjumlah RM4 bilion dari dana Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) kepada SRC dibuat di mana wang berjumlah
RM42 juta dimasukkan ke dalam akaun Najib berasal, diluluskan atas nama kepentingan negara.

“Tidak ada kepentingan negara ketika RM42 juta dipindahkan ke dalam akaun Najib, ia hanya memalukan negara,” kata Karim ketika membacakan penghakiman hari ini.

Ulasan itu turut menarik kritikan Shafee yang berkata ia sepatutnya tidak perlu dikeluarkan.

Najib berkata beliau sentiasa memperomosikan kepentingan negara sepanjang karier politiknya.

“Sudah tentu, saya rasa sangat-sangat kecewa dengan (ulasan) tersebut,” katanya.

Beliau berkata di bawah kepimpinannya, aset negara berkembang dari RM800 bilion kepada RM2 trilion.

“Jadi, saya sudah sumbang banyak dalam menambah kekayaan negara.”

Walaupun Najib tidak menyebut nama Mahathir, kata-kata beliau itu jelas merujuk kepada sejumlah kerugian bernilai AS$10 bilion yang didakwa telah ditanggung oleh Bank Negara Malaysia antara 1987 dan 1992.

Pada 2017, sewaktu Mahathir mengetuai pembangkang melawan pentadbiran Najib berikutan pembongkaran skandal 1MDB, kerajaan Barisan Nasional ketika itu menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) di mana ia turut dilihat menyerang bekas perdana menteri itu.

Najib berkata RCI itu ditubuhkan bagi menyiasat beberapa kerugian negara yang kemudiannya tidak diambil tindakan susulan oleh kerajaan Pakatan Harapan yang mentadbir negara pada 2018.

“Kehilangan RM31 bilion diklasifikasikan sebagai ‘tiada tindakan susulan’,” tambahnya.

Dalam pada itu, menjawab soalan sama ada beliau merancang untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang, Najib berkata ada beberapa pertimbangan perlu diambil sebelum apa-apa keputusan dibuat berkenaan perkara itu.

“Kita akan hadapi jika kita jumpa hambatan itu.

“Ada beberapa pertimbangan politik dan peribadi perlu dilakukan,” kata ahli Parlimen Pekan tersebut.