- Iklan -
Berita

Undang-undang ganjaran kepada bekas PM bukan untuk beri kemewahan, kata Dr M

Dr Mahathir berkata pencen dan elaun yang diberi kepada bekas perdana menteri sudah cukup untuk memina rumah mereka sendiri.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir Mohamad berkata undang-undang yang diperkenalkan semasa penggal pertamanya untuk memberi ganjaran kepada bekas perdana menteri bertujuan mengenang jasa mereka, bukannya bertujuan memberi kemewahan, katanya sebagai respons kepada Najib Razak yang menyerangnya berikutan pendedahan kerajaan merancang menghadiahkan hartanah bernilai RM100 juta walaupun disabitkan kes jenayah.

“Biasanya ganjaran yang diberi ialah rumah kerajaan yang sedia ada.

“Ia tidak bertujuan untuk memberi kemewahan atau kekayaan kepada bekas perdana menteri,” kata Mahathir dalam catatan blognya semalam.

Beliau berkata bekas perdana menteri sudah diberi pencen, gratuiti dan elaun, sambil menambah semua manfaat itu sudah cukup untuk mereka membina rumah sendiri.

“Itulah yang saya lakukan,” katanya.

Ulasan Mahathir itu adalah susulan daripada kecaman orang ramai ekoran pendedahan permohonan Najib bagi sebuah tanah premium di Kuala Lumpur yang saiznya lebih besar dari dua padang bola sepak dengan beberapa tambahan daripada kerajaan persekutuan, di mana sebuah rumah juga akan dibina oleh Putrajaya dengan kos keseluruhan sebanyak RM100 juta.

Laporan MalaysiaNow sebelum ini mendedahkan butiran permohonan menunjukkan Najib menggunakan Akta Ahli Parlimen (Saraan), di mana bekas perdana menteri diberi beberapa pilihan elaun perumahan.

MalaysiaNow juga mendedahkan Najib mengambil pilihan paling mahal dalam bentuk hartanah yang terletak di kawasan kejiranan eksklusif Bukit Petaling, dengan nilai tanah kira-kira RM60 juta.

Ia dilaporkan turut disokong pemimpin Umno merangkap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob namun mendapat bantahan daripada beberapa menteri kanan Kabinet mewakili parti komponen kerajaan termasuk Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz, Mohamed Azmin Ali, Khairy Jamaluddin dan Tuan Ibrahim Tuan Man.

Selepas Mahathir membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat, Najib memberikan respons, mengatakan beliau hanya memohon dengan menggunakan peruntukan yang diperkenalkan sewaktu pentadbiran Mahathir.

Bagaimanapun, akibat kemarahan dan kecaman orang ramai, Najib akhirnya membatalkan permohonan tersebut dan menggesa hak bagi bekas perdana menteri setelahnya dikaji semula.

Dalam pada itu, Mahathir turut berkata bekas perdana menteri lain termasuk beliau tidak diberikan kemewahan seperti apa yang dimohon Najib.

Mahathir berkata Malaysia menjadi bahan ketawa dunia “di mana seorang banduan yang lesap berbillion ringgit begitu disanjung tinggi dan dihormati.”

“Kita boleh hargai jasa seseorang perdana menteri tetapi tidaklah sampai menjadinya millionaire. Sumbangan mereka sebenarnya juga perlu diambil kira.

“Bagi seorang perdana menteri yang merosakan negara sehingga dihukum penjara, perlukah kita beri hadiah sampai 100 juta, sedangkan yang merdekakan negara diberi hanya sebuah rumah dinding papan berbumbung genting sahaja?” kata Mahathir.

Sejak tumbang dari tampuk pentadbiran pada 2018, Najib berdepan pelbagai pertuduhan rasuah, gubah wang dan salah guna kuasa berkait skandal 1MDB.

Tahun lalu, beliau dijatuhi hukuman 12 tahun penjara selepas disabitkan tujuh pertuduhan jenaya berkaitan penyelewengan wang sebanyak RM42 juta dari SRC International.

Keputusan rayuannya ditetapkan pada 8 Disember depan.