- Iklan -
Berita

PRN Melaka bukti rakyat mahu kestabilan politik, kata pemimpin PBB

Abdul Karim Rahman Hamzah berkata keputusan pilihan raya itu juga menunjukkan rakyat menentang 'katak politik'.

Nur Shazreena Ali
1 minit bacaan
Kongsi
Para pengundi PRN Melaka beratur menunggu giliran sebelum menjalankan tanggungjawab membuang undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Katholik di Kenanga Seksyen 2 hujung minggu lalu.
Para pengundi PRN Melaka beratur menunggu giliran sebelum menjalankan tanggungjawab membuang undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Katholik di Kenanga Seksyen 2 hujung minggu lalu.

Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hujung minggu lalu memberi mesej jelas rakyat mahukan kestabilan politik dalam negara, kata Naib Presiden PBB Abdul Karim Rahman Hamzah hari ini.

Pilihan raya itu menyaksikan Barisan Nasional (BN) memenangi 21 dari 28 kerusi yang ditandinginya, manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi lima kerusi sementara Perikatan Nasional (PN), dua kerusi.

“Saya tidak pernah melihat BN menang dengan begitu bergaya di Melaka,” kata Karim ketika diminta mengulas mengenai pilihan raya itu.

“Walaupun Umno menghadapi masalah dalaman disebabkan kepimpinannya, anda boleh lihat rakyat masih sanggup mengundi parti itu. Ini menunjukkan rakyat menaruh kepercayaan kepada pemimpin baru yang dibawa masuk sebagai calon,” katanya.

Karim, yang merupakan penyandang kerusi Asajaya di DUN Sarawak berkata keputusan PRN itu juga menunjukkan orang ramai menentang budaya politik “katak”.

“Ia satu perkembangan yang baik kerana rakyat telah menunjukkan bahawa mereka mahukan kestabilan politik.

“Kita tidak boleh lari daripada kenyataan itu, dan saya percaya rakyat Melaka sudah muak dengan pemimpin politik yang melompat sana sini, dan bergaduh sesama sendiri sehingga mengganggu kerja pentadbiran kerajaan.”

Karim berkata mereka yang bertanding dan menang atas tiket parti tidak sepatutnya melompat ke parti lain kerana ia adalah perbuatan membelakangi rakyat yang telah memberi sokongan kepada mereka semasa pilihan raya.

“Terutamanya untuk pengundi, kerana mereka mengundi kita sebagai individu yang mewakili parti. Sudah tentu rakyat marah kerana mereka mengundi calon dari parti tertentu dan kemudian mereka lari,” katanya lagi.

“Sebab itu kamu lihat katak-katak itu kalah di Melaka.”

PRN Melaka dicetuskan oleh tindakan empat Adun menarik sokongan mereka terhadap kepimpinan Sulaiman Md Ali yang mengangkat sumpah sebagai ketua menteri sekali lagi selepas kemenangan BN pada Sabtu lalu.