- Iklan -
Berita

Semua Adun ‘lompat’ kecundang dalam PRN Melaka

Usaha menarik sokongan terhadap Sulaiman Md Ali ternyata sia-sia apabila ditewaskan dalam PRN Melaka

Ahmad Mustakim Zulkifli dan Azzman Abdul Jamal
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas ketua menteri Melaka Idris Haron yang merupakan salah seorang dari empat Adun tersebut turut kecundang dalam PRN Melaka.
Bekas ketua menteri Melaka Idris Haron yang merupakan salah seorang dari empat Adun tersebut turut kecundang dalam PRN Melaka.

Tindakan empat bekas ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melaka yang menarik sokongan terhadap kepimpinan kerajaan negeri hingga berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN) ternyata sia-sia apabila tiga daripada mereka yang bertanding tewas, seorang tidak dinamakan sebagai calon.

Tiga individu itu ialah bekas ketua menteri, Idris Haron yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, Nor Azman Hassan di Pantai Kundor dan Norhizam Hassan Baktee pula di Pangkalan Batu.

Idris dan Nor Azman masing-masing bertanding di bawah logo Pakatan Harapan (PH) menerusi tiket PKR dan Amanah manakala Norhizam bertanding secara Bebas.

Noor Effandi Ahmad yang sebelum ini penyandang kerusi DUN Telok Mas di bawah Bersatu tidak dinamakan sebagai calon.

Berdasarkan data yang dikemukakan portal SPR, Idris tewas selepas hanya meraih 2,666 undi, manakala pesaingnya dari Barisan Nasional (BN) Fairul Nizam Roslan menerima 5,659 undi.

Di DUN Pantai Kundor, Azman hanya meraih 2,799 undi meletakkan dia di tangga terbawah selepas ditinggalkan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Ridzwan Mustafa yang meraih 3,133 undi, manakala Tuminah Kadi @ Mohd Hashim dari BN diumum pemenang selepas meraih majoriti 827 undi menerusi kutipan keseluruhan 3,937 undi.

Norhizam menjadi calon Bebas paling popular di DUN Pangkalan Batu selepas meraih 1,218 undi, bagaimanapun ia masih tidak mencukupi untuk mengatasi calon dari PN, PH dan BN.

DUN Pengkalan Batu menyaksikan BN selaku pemenang dengan majoriti tipis 131 selepas meraih 4,839 undi, diikuti calon dari PH, Muhamad Danish Zainudin.