- Iklan -
Berita

PN kecam gambar palsu papar rasuah wang tunai

PN berkata cara gambar tersebut diambil juga jelas menunjukkan ia berniat untuk memburukkan imej gabungan tersebut.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Antara gambar yang tular berhubung dakwaan kononnya wujud politik wang oleh Perikatan Nasional dalam PRN Melaka.
Antara gambar yang tular berhubung dakwaan kononnya wujud politik wang oleh Perikatan Nasional dalam PRN Melaka.

Perikatan Nasional (PN) menafikan dakwaan kononnya gabungan parti itu menyogok pengundi menggunakan wang untuk meraih sokongan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Penyelaras Penerangan PN PRN Melaka, Badrul Hisham Shaharin, berkata gambar yang tersebar memaparkan individu memasukkan duit ke dalam sampul disertakan logo mereka merupakan fitnah dan usaha pihak tidak bertanggungjawab untuk memburukkan imej gabungan parti tersebut.

“Dari cara gambar itu diambil pun sudah tahu ini adalah kerja musuh PN. Gambar tak bagi nampak muka, cara pegang duit yang kelihatan seperti menunjuk-nunjuk.

“Yang peliknya paparkan logo itu untuk apa? Supaya orang percaya itu duit PN?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, tular beberapa keping gambar seorang individu memakai baju PN memasukkan sejumlah duit ke dalam sampul disertakan logo gabungan itu.

Gambar yang disebarkan menerusi aplikasi WhatsApp dan Facebook itu bagaimanapun tidak memaparkan muka individu itu serta butiran mengenai gambar tersebut.

Mengulas lanjut, beliau berkata, PN sejak awal kempen disasarkan pelbagai serangan propaganda palsu yang dipercayai cuba untuk menjejaskan reputasi gabungan parti politik tersebut.

“Sebelum ini pula ada keluar kenyataan palsu dengan kepala surat PN.

“Ini usaha terdesak pihak lawan yang cuba mengalihkan isu,” katanya.