- Iklan -
Berita

Menteri serah kepada SPR untuk longgarkan SOP hari pengundian

Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata sebagai jentera PRN, adalah penting untuk setiap parti memastikan semua SOP dipatuhi bagi mengelak sebarang risiko.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pegawai polis menunggu giliran untuk membuang undi pada sesi undi awal PRN Melaka di Ayer Keroh.
Pegawai polis menunggu giliran untuk membuang undi pada sesi undi awal PRN Melaka di Ayer Keroh.

Terpulang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, seperti membenarkan penyokong membawa bendera parti, kata Bendahari Agung Barisan Nasional (BN) Hishammuddin Hussein.

Bagaimanapun Hishammuddin berkata sebagai jentera parti, adalah penting untuk setiap parti memastikan semua SOP dipatuhi bagi mengelak sebarang risiko.

“Itu kena tanya SPR, perjalanan hari membuang undi berada di bawah tangungjawab mereka. Sebagai jentera parti, kita perlu yakinkan rakyat keluar tunaikan tanggungjawab mereka,” kata Hishammuddin yang mengetuai pengurusan pandemik Covid-19 di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah kerajaan mempunyai perancangan melonggarkan SOP PRN Melaka yang ketat, termasuklah membenarkan penyokong membawa bendera lambang parti seperti kebiasaan.

Dalam pada itu Hishammuddin yang juga menteri kanan pertahanan berkata undi awal pada 16 November seramai 8,332 atau 91.3% anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), telah menunaikan tanggungjawab mereka.

Katanya proses mengundi awal di kesemua lokasi termasuk di kem-kem ATM di Melaka berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.

“Melalui maklum balas yang saya terima, pematuhan SOP pembuangan undi yang telah ditetapkan oleh pihak SPR, berada pada tahap yang baik,” katanya.

Hishammuddin juga mengucapkan terima kasih kepada anggota tentera yang telah mengundi dan berharap suasana tenang dan tahap pematuhan SOP seperti hari undi awal semalam, dapat dikekalkan sepanjang tempoh berkempen yang hanya berbaki dua hari sahaja lagi.

“Lebih penting, dapat dikekalkan pada hari pembuangan undi pada 20 November nanti. Insya-Allah,” katanya.

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober selepas empat ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

Melaka mempunyai 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan seramai 495,195 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57% pengundi adalah lelaki dan baki 254,666 atau 51.43%, wanita.