- Iklan -
Berita

PBKD beri kelulusan bersyarat kepada AstraZeneca, Sinovac sebagai dos penggalak

KP Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia akan diberikan kepada individu yang telah menerima vaksin sama sebelum ini.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas vaksin memberi suntikan vaksin Sinovac dos kedua kepada penerima yang hadir mengikut temujanji mereka di PPV Movenpick, Sepang.
Petugas vaksin memberi suntikan vaksin Sinovac dos kedua kepada penerima yang hadir mengikut temujanji mereka di PPV Movenpick, Sepang.

Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) hari ini bersetuju memberikan kelulusan bersyarat bagi vaksin AstraZeneca dan Sinovac sebagai dos penggalak kepada individu berusia 18 tahun dan ke atas dan menerima vaksin “primary series” dari jenis yang sama, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

“Dos penggalak bagi vaksin AstraZeneca akan diberikan selepas sela masa 6 bulan daripada penerimaan dos kedua vaksin tersebut manakala bagi vaksin CoronaVac, dos penggalak akan diberikan selepas 3 hingga 6 bulan daripada dos kedua diterima.

“Pemberian dos penggalak bagi kedua-dua produk vaksin ini kepada kumpulan sasar tertentu akan diperincikan oleh Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Penggalak (CITF-B) dan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Menurut Noor Hisham, kelulusan pendaftaran bersyarat ini memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.

“Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) bagi vaksin tersebut kekal positif,” katanya.

Kerajaan mula melaksanakan pemberian dos penggalak bagi penerima vaksin lengkap pada 13 Oktober lalu bagi memastikan penerima memiliki imuniti yang kekal berkesan bagi melawan varian Delta yang menular dalam negara.

Vaksin Pfizer menjadi jenama pertama diberikan kelulusan sebagai dos penggalak kepada penerima vaksin 18 tahun ke atas selepas sekurang-kurangnya enam bulan melengkapkan vaksin mereka.