- Iklan -
Berita

Menjelang PRN Melaka, penduduk berharap isu banjir diselesaikan

Pengundi berharap janji atasi masalah banjir bukan sekadar janji.

Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Sebuah loji yang baru dibina bersebelahan Sungai Melaka dikatakan antara punca berlakunya banjir oleh penduduk Kampung Sungai Putat.
Sebuah loji yang baru dibina bersebelahan Sungai Melaka dikatakan antara punca berlakunya banjir oleh penduduk Kampung Sungai Putat.

Isu banjir bukanlah satu masalah baru bagi penduduk Kampung Sungai Putat, malah mereka sudah berdepan dengan isu itu lebih 10 tahun lalu.

Malah, ada antara mereka sudah lali dengan masalah tersebut dan sentiasa melakukan persiapan untuk berpindah keluar dari rumah masing-masing secara sementara terutamanya apabila berlaku hujan lebat.

Penduduk, Kamsiah Joned, 67, berkata banjir di kawasan itu sering berlaku akibat fenomena air pasang dan hujan lebat menyebabkan air Sungai Putat melimpah ke kawasan perkampungan itu.

Bercakap dengan MalaysiaNow, Kamsiah turut berkongsi kebimbangannya apabila masalah banjir di kawasan perkampungan itu dilihat berlaku semakin kerap, malah, paras air juga dikatakan terus meningkat.

“Tahun ini sahaja sudah empat kali rumah saya naik air. Kejadian terbaru adalah pada Oktober lalu apabila air naik sehingga ke paras pinggang,” katanya ketika ditemui MalaysiaNow di rumahnya yang terletak bersebelahan dengan Sungai Putat.

“Sebelum ini, air selalunya naik hingga ke paras lutut atau atas sedikit dari paras itu, tetapi sekarang macam lagi teruk. Kami di sini memang risau.”

Seorang lagi penduduk Kampung Sungai Putat, Fatimah Kassim, 65, berkata kejadian banjir itu menyebabkan dia menanggung kerugian ribuan ringgit apabila perabot dan beberapa barang elektrik di rumahnya sentiasa rosak.

“Ini bukan perkara baru. Setiap kali musim tengkujuh atau apabila hampir bulan November dan Disember, saya akan lakukan persiapan untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) dan tidur di sana beberapa hari.

“Kemudian saya balik dan mengemas serta mencuci kotoran di rumah. Saya juga agak berhati-hati kerana rumah akan dikunjungi lipan dan lintah yang dipercayai datang akibat limpahan air tersebut,” katanya.

Tinjauan lanjut MalaysiaNow di kawasan berhampiran Sungai Putat turut mendapati banjir yang berpunca daripada limpahan air sungia itu turut menjejaskan beberapa kawasan perumahan terletak berhampiran seperti di Taman Bukit Beruang Utama.

Ibrahim Sarif menceritakan pengalaman beliau ketika rumahnya dimasuki air pada Oktober lalu, di mana ianya merupakan tragedi banjir yang paling teruk pernah berlaku di kawasan perumahan beliau di Taman Bukit Beruang Fasa 1.

Pasangan suami yang menetap di kawasan perumahan itu, Ibarhim Sarif, 74 dan isterinya, Tuan Anisa Tuan Teh, 72, memberitahu MalaysiaNow bahawa kejadian banjir di kawasan itu pada tahun ini agak teruk sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penduduk mengenai punca berlakunya banjir itu.

Mereka mendakwa, air dipercayai datang dari kawasan Sungai Putat dan pada tahun ini sahaja, sudah tiga kali naik dan menyebabkan pelbagai kerosakan di rumah-rumah sekitar kawsan itu.

“Tahun ini sahaja saya sudah habis lebih RM10,000 untuk mengganti perabot dan barangan elektrik yang rosak akibat banjir.

“Air yang membanjiri kawasan ini bukan sahaja tinggi hingga ke paras pinggang, malah berbau busuk dan berlendir. Mujur anak-anak saya datang bantu membersihkan rumah,” kata pasangan itu dan menambah proses membersih rumah tersebut memakan masa hampir seminggu.

Ibrahim Sarif menunjukkan tahap air banjir yang melimpah memasuki rumahnya pada Oktober lalu, yang merupakan banjir terteruk pernah berlaku di kawasan perumahannya di Taman Bukit Beruang Fasa 1.

Tambahnya, ramai dalam kalangan penyewa di kawasan perumahan itu telah berpindah keluar kerana tidak tahan berdepan dengan masalah banjir.

“Bagaimanapun, kami sayang untuk berpindah keluar sebab ini sudah menetap lebih 20 tahun di sini.

“Bagi mengurangkan kerugian, kami hanya membeli perabot murah supaya boleh menggantikannya apabila berlaku banjir lagi pada masa hadapan,” luahnya.

Ditanya sama ada isu banjir di kedua-dua kawasan tersebut mendapat perhatian pihak atasan, Kamsiah, Fatimah dan Anisa memaklumkan mereka pernah menerima kunjungan beberapa pihak termasuk wakil rakyat yang bermurah hati untuk menyampaikan sumbangan makanan dan melakukan tinjauan di kawasan itu, namun mereka agak terkilan kerana masalah disitu masih berterusan seolah-olah tiada pengakhiran.

Mereka menggesa supaya pihak yang bakal dipilih sebagai pemimpin Melaka menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka supaya lebih agresif mencari jalan penyelesaian sekali gus menamatkan penderitaan penduduk di situ.

“Ada beberapa kali kami dikunjungi ahli politik, tetapi hanya dapat saguhati dan makanan. Kami bersyukur atas pemberian itu, cuma kami harapkan isu ini dapat diselesaikan segera,” kata Kamsiah.

“Saya pun tidak tahu nak buat aduan kepada siapa. Saya harap pihak bertanggungjawab akan lebih prihatin atas nasib kami,” kata Anisa yang turut meminta supaya bakal kerajaan negeri kotakan janji untuk membantu rakyat.

Dalam pada itu, semua gabungan politik besar iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), masing-masing berjanji akan mengatasi masalah banjir sekiranya memenangi PRN Melaka ke-15 yang sedang berlangsung pada masa ini.

Janji itu diumumkan menerusi pelancaran manifesto serta ikrar yang dibuat menerusi sidang media secara maya baru-baru ini.