- Iklan -
Berita

Mahkamah tolak permohonan kerajaan tangguh penghakiman kerakyatan anak kelahiran luar negara

Hakim Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas mendengar hujah beberapa pihak dalam prosiding yang dijalankan secara dalam talian.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai menunggu giliran bagi urusan di Jabatan Pendaftaran Negara di Putrajaya. Gambar: Bernama
Orang ramai menunggu giliran bagi urusan di Jabatan Pendaftaran Negara di Putrajaya. Gambar: Bernama

Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan kerajaan Malaysia untuk menangguhkan penghakimannya yang menetapkan anak dilahirkan ibu warga Malaysia di luar negara hasil perkahwinan dengan warga asing berhak mendapat kerakyatan Malaysia, sementara ia menunggu pelupusan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Hakim Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas mendengar hujah beberapa pihak dalam prosiding yang dijalankan secara dalam talian.

Peguam Gurdial Singh Nijar ketika dihubungi berkata, hakim mendapati ibu yang merupakan plaintif menunggu cukup lama dan mengalami kesukaran dan mereka tidak dapat menunggu proses rayuan selesai kerana ia akan menjejaskan plaintif dan menyebabkan mereka mengalami kesukaran yang berterusan.

“Hakim Akhtar dalam keputusannya memutuskan bahawa pendirian defendan adalah bercanggah. Di satu pihak, mereka berkata bahawa pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk memberikan ibu hak tersebut mesti diluluskan terlebih dahulu oleh Majlis Raja-Raja. Ini mengandaikan bahawa pindaan itu sememangnya perlu.

“Bagaimanapun, tidak timbul soal pindaan kerana mahkamah sudah memutuskan bahawa ibu mempunyai hak ini di bawah Perlembagaan. Tambahan pula, jika pindaan itu diteruskan, tidak timbul soal menarik balik sebarang dokumen yang dikeluarkan kepada pihak ibu seperti diarahkan oleh mahkamah,” kata Gurdial.

Defendan ialah kerajaan Malaysia, menteri dalam negeri dan ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Menurut Gurdial, hakim juga mengatakan jika defendan berhasrat untuk meminda Perlembagaan Persekutuan selaras dengan keputusan Mahkamah Tinggi, mereka tidak boleh meletakkan sebarang halangan untuk ibu-ibu berkenaan.

Beliau berkata mahkamah juga memerintahkan kerajaan membayar kos RM5,000.

Gurdial mewakili plaintif iaitu Persatuan Kebajikan Sokongan Keluarga Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) serta enam wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing manakala peguam kanan persekutuan Liew Horng Bin mewakili kesemua defendan.

Pada 9 September, hakim Akhtar dalam keputusan membenarkan saman plaintif bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing berhak melalui peraturan undang-undang untuk menjadi warganegara Malaysia.

Berikutan itu, kerajaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah dan turut memfailkan permohonan untuk menggantung keputusan itu.

Melalui saman pemula yang difailkan pada 18 Disember tahun lepas, mereka memohon enam perintah mahkamah termasuk deklarasi bahawa Seksyen 1(b) dan Seksyen 1(c) Jadual Kedua, Bahagian II Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama dengan Perkara 8 (2) bagi memasukkan ibu rakyat Malaysia sebagai syarat untuk bayi yang dilahirkan di luar negara diberikan kerakyatan Malaysia secara automatik.

Antara lain, mereka meminta mahkamah mengeluarkan perintah kepada semua agensi kerajaan berkaitan termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen dan kedutaan Malaysia agar mengeluarkan semua dokumen membabitkan kerakyatan (termasuk pasport dan kad pengenalan) kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibunya iaitu warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.