- Iklan -
Berita

Pelajar UiTM positif Covid-19 selepas hadiri program didakwa anjuran BN Melaka

Tujuh pelajar UiTM itu didakwa menghadiri program yang turut dihadiri Najib Razak dan Mohamad Hasan di Masjid Tanah, Melaka.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Pelajar universiti bergambar ketika program di Masjid Tanah tular di media sosial.
Pelajar universiti bergambar ketika program di Masjid Tanah tular di media sosial.

Sekurang-kurangnya seorang pelajar UiTM Lendu, Alor Gajah positif Covid-19 selepas menghadiri satu program di sebuah resort yang didakwa dianjurkan Barisan Nasional (BN) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengarah Kesihatan Melaka Dr Rusdi Abd Rahman memberitahu, ujian saringan diambil terhadap tujuh pelajar yang didakwa positif Covid-19 selepas menghadiri program tersebut.

“Semalam (kelmarin) dimakumkan ada tujuh orang simptomatik. Keputusan saliva mendapati seorang pelajar positif,” katanya kepada MalaysiaNow.

“UiTM mengambil tindakan untuk mengasingkan semua yang hadir ke program itu.

“Seramai 40 orang disaring dan siasatan masih diteruskan.”

Pemimpin Barisan Nasional bergambar bersama ketika program di Masjid Tanah tular di media sosial.

Sebelum ini tersebar di media sosial dakwaan tujuh orang pelajar UiTM didapati positif Covid-19 selepas pulang daripada sebuah program dianjurkan BN Melaka pada 4 hingga 7 November.

“Semua pelajar tersebut pulang ke kampus pada 7 hari bulan lepas tamat program di Villa D Aqua, Masjid Tanah, Melaka,” menurut posting yang tersebar di media sosial itu yang turut melampirkan gambar-gambar program tersebut.

“Bila pulang ke kampus, daripada berpuluh pelajar, tujuh didapati positif Covid-19.”

Menurut posting itu, keesokan harinya pada 8 November penyokong-penyokong BN berkumpul di villa tersebut bersarapan pagi sebelum pergi ke pusat penamaan calon untuk mengiringi pengerusi Melaka, Ab Rauf Yusoh.

Turut hadir pada pagi itu ialah bekas perdana menteri Najib Razak dan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan untuk memberikan sokongan kepada Rauf.

MalaysiaNow cuba menghubungi pihak BN untuk mendapatkan komen namun tidak menerima sebarang jawapan.