- Iklan -
Berita

Mata wang kripto haram, kata ulama Indonesia

Bagaimanapun, Majlis Ulama Indonesia berkata jika ia mematuhi beberapa syarat, mata wang itu harus digunakan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Logo Bitcoin di skrin mesin ATM mata wang kripto di Salem, Amerika Syarikat. Gambar: Bernama
Logo Bitcoin di skrin mesin ATM mata wang kripto di Salem, Amerika Syarikat. Gambar: Bernama

Majelis Ulama Indonesia (MUI) hari ini melalui Forum Ijtima Ulama mengumumkan fatwa mengharamkan penggunaan wata wang kripto.

Dalam laporan detik.com, pengumuman tersebut diumumkan Ketua Fatwa MUI Asrorun Niam Soleh di Jakarta dengan menjelaskan mata wang tersebut mengandungi unsur penipuan.

“Penggunaan kripto sebagai mata wang hukumnya haram,” katanya seperti dilaporkan.

“Kripto sebagai komoditi atau aset digital tidak sah dijual beli kerana mengandungi gharar, dharar, qimar, dan tidak memenuhi syarat sil’ah secara syarie.”

Gharar (penipuan), dharar (mudarat), qimar (perjudian) yang disebut oleh Asrorun itu adalah beberapa unsur yang menjadi alasan fatwa pengharaman mata wang kripto oleh MUI tersebut.

Menurut Asrorun syarat sesuatu mata wang itu boleh diterima dalam Islam dan diharuskan penggunaannya memerlukan beberapa syarat yang antara lain mesti wujud secara nyata (fizikal) dan memiliki nilai (sil’ah).

“Selain itu, syarat lainnya adalah jumlahnya harus diketahui secara pasti, mempunyai hak pemilikan, dan boleh diserahkan kepada pembeli,” katanya.

Selain mengharamkan, MUI mengatakan mata wang kripto sebagai komoditi atau aset digital tidak sah dijual beli.

Bagaimanapun, katanya, wang kripto sebagai komoditi atau aset dengan pematuhan beberapa syarat, dibenarkan atau sah untuk dijual beli.

“Mata wang kripto sebagai komoditi atau aset yang memenuhi syarat sebagai sil’ah dan memiliki nilai serta memiliki manfaat yang jelas, sah untuk dijualbeli,” katanya.

Asrorun berkata anggota Forum Ijtima MUI juga turut membahaskan fiqah kontemporari.

Menurutnya, ketika berdepan pasca pandemik muncul pelbagai permasalahan baru di tengah masyarakat yang menggunakan bersifat digital.

“Jadi, kita sudah ada pernikahan online, pinjaman online, dan kripto.

“Jadi aset kripto sebagai salah satu instrumen kewangan berdasarkan digital ini juga hal yang baru dibahas, didalami dan ditetapkan sebagai panduan di dalam praktik kehidupan bermasyarakat,” katanya.