- Iklan -
Berita

Persoalan timbul berhubung pelaburan ratusan juta ringgit syarikat Malaysia di UK

Komuniti perniagaan UK berkata pengumuman serupa satu ketika dahulu tidak pernah diambil tindakan susulan selain 'tidak memberikan sebarang hasil'.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Sebuah kenyataan perdana menteri Britain memasukkan sebuah firma Malaysia sebagai sebahagian daripada janji pelaburan berbilion pound. Gambar: AP
Sebuah kenyataan perdana menteri Britain memasukkan sebuah firma Malaysia sebagai sebahagian daripada janji pelaburan berbilion pound. Gambar: AP

Janji pelaburan £60 juta (RM342 juta) di United Kingdom (UK) oleh sebuah syarikat yang dikaitkan dengan seorang ahli perniagaan penuh kontroversi Malaysia menimbulkan sungutan dalam kalangan komuniti perniagaan dan pelabur di negara itu.

Mereka memetik pengumuman serupa satu ketika dahulu yang dikatakan tidak pernah diambil tindakan susulan selain “tidak memberikan apa-apa hasil”.

“Akhirnya, pengumuman itu hanya menjadi satu cara mudah untuk kumpul banyak wang dengan mendakwa tawaran awam permulaan (IPO) saham syarikat itu akan diadakan,” kata seorang pelabur yang maklum dengan “taktik” beberapa syarikat bagi mengumpul dana dengan melibatkan diri dengan pegawai kanan perdagangan sesebuah kerajaan.

MalaysiaNow tidak boleh mengesahkan dakwaan tersebut dan memilih untuk tidak menamakan ahli perniagaan itu.

Pengumuman perdagangan oleh kerajaan UK memasukkan ikrar syarikat tersebut sebagai sebahagian daripada kira-kira £10 bilion yang diperoleh daripada pelabur semasa sidang kemuncak pelaburan yang diadakan di London bulan lepas.

Syarikat itu juga dikatakan menjanjikan £30 juta bagi pembinaan “rumah modular lestari” yang didakwa mampu mewujudkan lebih 200 pekerjaan, selain jumlah yang sama bagi pembinaan kemudahan kitar semula.

Ketika dihubungi MalaysiaNow, wakil perdagangan UK di Kuala Lumpur mengesahkan kenyataan yang dikeluarkan 10 Downing Street, namun berkata ia tidak dapat mendedahkan butiran jenis pelaburan yang dijanjikan oleh syarikat Malaysia tersebut.

Setakat ini, syarikat itu belum lagi memberikan sebarang jawapan ketika ditanya MalaysiaNow.

Bagaimanapun, seorang veteran industri mempersoalkan ikrar syarikat tersebut, mengatakan janji pelaburan serupa yang dibuat di UK tidak lama dahulu tidak memberikan sebarang hasil, walaupun jutaan pound dikutip bagi pelaburan IPO “yang tidak pernah berlaku”.

Pra-IPO ialah satu bentuk atau cara pengumpulan dana bagi membolehkan syarikat mengumpul wang yang cukup sebelum penyenaraian awamnya di bursa, di mana pelabur akan ditawarkan dengan diskaun dalam pembelian sahamnya.

“Pelabur bersedia untuk melabur dalam pra-IPO dengan mempertimbangkan potensi pulangan perniagaan yang dirancang, dan pengumuman rasmi dengan liputan luas akan menjadi cara terbaik untuk meyakinkan mereka,” kata ahli perniagaan yang berpangkalan di London itu kepada MalaysiaNow.

Beliau memberi amaran banyak syarikat mempunyai sejarah tidak melakukan IPO walaupun mengumpul banyak dana daripada bakal pelabur.

Malahan, beliau juga memetik bagaimana syarikat Malaysia tersebut mengumumkan pelaburan sebanyak £12 juta pada 2015 sebagai sebahagian daripada rancangan besar kerajaan UK untuk meningkatkan ekonomi bandar-bandar di utara Britain.

“Kemudahan kitar semula yang serupa turut menjadi sebahagian janji pelaburan (syarikat tersebut). Dan ia bahkan mendapat pujian daripada David Cameron, kerana memang difahami sebarang pelaburan ketika itu boleh meningkatkan sokongan politik kepadanya,” tambahnya, merujuk kepada perdana menteri Britain ketika itu.

Tiga tahun kemudian, syarikat tersebut berkata pelan penyenaraiannya ditangguhkan kerana situasi pasaran yang sukar dihadapi pihaknya.

Sedangkan, syarikat itu menyasarkan AS$20-50 juta dalam pembiayaan pra-IPO, lebih tinggi daripada AS$6-$10 juta (yang diumumkan) sebelumnya, menjelang penyenaraian syarikat itu di pasaran London pada November 2018.

“Hakikatnya, ahli-ahli politik ini tidak arif tentang butiran pelaburan. Mereka hanya pandai buat pengumuman,” kata ahli perniagaan tersebut.

“Dalam kes ini, mereka akan terima sesiapa sahaja yang umumkan akan buat pelaburan bernilai jutaan bagi menjana ekonomi, sedangkan dalam banyak kes, ia hanyalah tipu muslihat untuk mengutip dana pelaburan pra-IPO, namun ia tidak pernah buat IPO,” tambahnya.

“Akhirnya, semua pelaburan itu lenyap begitu sahaja.”