- Iklan -
Berita

Pemimpin PBB kecewa rang undang-undang pinda Perlembagaan ditangguh

Abdul Karim Rahman Hamzah berkata menteri Kabinet yang perlukan penjelasan lanjut sepatutnya merujuk kepada dokumen cadangan itu

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Naib Presiden PBB Abdul Karim Rahman Hamzah. Gambar: Bernama
Naib Presiden PBB Abdul Karim Rahman Hamzah. Gambar: Bernama

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah hari ini berkata beliau kecewa dengan menteri Persekutuan yang memerlukan penjelasan lanjut daripada peguam negara (AG) berhubung cadangan pindaan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan.

Cadangan pindaan khususnya berkaitan Perkara 1(2) dan 160(2), sepatutnya dibentangkan di Parlimen esok untuk bacaan kali kedua. Bagaimanapun, ia kini ditangguhkan ke pertengahan Disember depan.

Bercakap kepada pemberita hari ini, Karim berkata menteri Kabinet sepatutnya mempunyai maklumat lengkap mengenai cadangan pindaan dalam rang undang-undang yang bertujuan mentakrifkan semula maksud “persekutuan” dalam Perlembagaan.

“Secara peribadi memang saya rasa kecewa sedikit, sepatutnya rang undang-undang itu dapat diaturkan dan dibentangkan terus pada persidangan kali ini. Sepatutnya semalam. Tapi memandangkan ada lagi ahli Kabinet yang masih memerlukan sedikit sebanyak penerangan yang lebih terperinci daripada AG.

“Sebab itulah, saya difahamkan (ia ditangguhkan),” katanya.

Beliau menambah bahawa mereka yang tidak memahami isu berkaitan pindaan itu perlu membaca RUU tersebut.

“Tidak perlu minta AG untuk huraikan lebih lanjut.”

Karim juga berkata usaha meminda takrif “persekutuan” di bawah Perkara 160(2) adalah penting bagi mencerminkan semangat dan hasrat sebenar Sarawak semasa pembentukan Malaysia.

“Apa yang diusahakan oleh Wan Junadi untuk pastikan hak-hak yang terhakis,” katanya.

“Salah satunya adalah berkenaan dengan takrif federation kalau ikut dalam Perlembagaan Persekutuan ia merujuk Persekutuan 1957, pada 1957 Malaysia belum tubuh lagi.

“Apa jadi dengan federasi Malaysia, Sabah dan Sarawak? Sebab itu ia perlu dipinda,”

Beliau juga turut menggesa pindaan itu dibentangkan di Parlimen secepat mungkin, sambil menambah ahli Parlimen harus memberikan sokongan mereka kerana RUU itu memerlukan majoriti dua pertiga untuk diluluskan.

Langkah usul RUU ini adalah percubaan kedua untuk meminda Perlembagaan.

Kali pertama ia dibentangkan pada 10 April 2019 sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan. Bagaimanapun, ia gagal mendapatkan sokongan majoriti dua pertiga.