- Iklan -
Berita

Najib tinggalkan Zahid, kini bernaung bawah PM

Walaupun bekas perdana menteri dan presiden Umno dilihat bersatu, Najib telah memutuskan bahawa beliau hanya dapat bertahan dengan berganding bahu bersama Ismail Sabri Yaakob.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno, Zahid Hamidi bersama bekas presiden, Najib Razak mengangkat tangan bersama-sama kepada pengamal media ketika hadir bagi mendengar perbahasan pada Persidangan Umno 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra.
Presiden Umno, Zahid Hamidi bersama bekas presiden, Najib Razak mengangkat tangan bersama-sama kepada pengamal media ketika hadir bagi mendengar perbahasan pada Persidangan Umno 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Pergolakan panjang dalam hubungan antara dua pemimpin tertinggi Umno kini mungkin akan meletus secara terbuka walaupun kerjasama antara mereka erat ketika merancang untuk menjatuhkan kerajaan dipimpin Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dua bulan lalu, dedah seorang pemimpin kanan parti itu kepada MalaysiaNow.

Difahamkan, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan pendahulunya Najib Razak yang bersama-sama menghadapi puluhan pertuduhan rasuah sejak kejatuhan mereka tiga tahun lalu dikatakan kini berpecah selepas ahli Parlimen Pekan itu memutuskan “dia hanya boleh bertahan dengan berganding bahu dengan Ismail Sabri Yaakob”.

“Perdana menteri juga kini sedang aktif mencari sekutu bagi mendapatkan jawatan presiden Umno, jadi sokongan Najib dalam Umno sangat penting,” kata sumber yang berpangkalan di Pahang.

“Ia adalah perjanjian menang menang selagi Ismail menjadi perdana menteri. Setahun akan datang menjelang pilihan raya umum akan menyaksikan kerjasama padu antara beliau dan Najib,” tambahnya.

Ismail adalah antara pemimpin Umno yang menentang kempen Zahid dan Najib untuk menjatuhkan presiden Bersatu.

Beliau dilihat tetap bersama kepimpinan Muhyiddin walaupun perang psikologi semakin marak untuk mendapatkan sokongan ahli Parlimen Umno bagi menarik sokongan terhadap presiden Bersatu tersebut.

Walaupun menentang usaha menjatuhkan kerajaan dengan mengumpulkan anggota Kabinet Umno dan Barisan Nasional untuk menghentikan sebarang percubaan untuk menggulingkan kerajaan Perikatan Nasional ketika wabak Covid-19 sedang memuncak, Ismail mendapat sokongan daripada Zahid dan Najib setelah rancangan untuk menaikkan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri terbantut kerana gagal mendapatkan sokongan ahli Parlimen Umno untuk mengangkat presiden PKR itu.

Sumber tersebut berkata Najib memahami kedudukan Ismail sebagai perdana menteri dan kesannya terhadap pemimpin Umno.

“Ini adalah era di mana anda kawal parti dengan menguasai kerajaan terlebih dahulu. Tidak seperti beberapa tahun lalu di mana jika Umno dapat dikuasai ia adalah jalan untuk menjadi perdana menteri.

“Najib menyedari perkara ini, di mana itulah sebabnya beliau meninggalkan Zahid yang dilihat sebagai presiden Umno paling lemah dalam sejarah parti,” katanya.

Najib, yang kini dalam proses rayuan terhadap tujuh sabitan jenayah berprofil tinggi berkaitan RM42 juta dana SRC International berkaitan 1MDB, tidak mempunyai pilihan selain memberikan sokongannya terhadap usaha Ismail dalam mengambil alih Umno.

Ismail memiliki reputasi yang tidak begitu cerah untuk menjawat jawatan perdana menteri walaupun beliau merupakan salah seorang dari tiga naib presiden parti itu.

Umno menangguhkan pemilihan bagi jawatan tertinggi parti hingga akhir 2022, satu langkah yang dikecam pemimpin parti yang anti-Najib di mana mereka menduduki jawatan menteri di bawah pentadbiran Ismail, seperti Khairy Jamaluddin dan Reezal Merican Naina Merican.

Langkah tersebut juga menyebabkan Umno menghadapi masalah dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang memutuskan keputusan yang diambil pada 7 Julai lalu adalah tidak sah kerana Majlis Tertinggi Umno sudah tamat tempoh seminggu sebelumnya.

Zahid yang mengalahkan Khairy dalam pertandingan merebut jawatan tertinggi Umno pada 2018 menjadi penyokong kuat penangguhan pemilihan parti kerana beliau berdepan penentangan dalaman kerana mempunyai terlalu banyak isu, antaranya kes mahkamah berkaita pengubahan wang, rasuah dan pecah amanah (CBT).

Selain itu beliau juga dikecam kerana menjalin hubungan rahsia dengan Anwar dan penolakannya untuk bekerjasama dengan parti-parti Melayu lain dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bakal diadakan November depan.

“Semua perkara negatif tentang Zahid bermaksud musibah bagi Najib, kerana kedua-duanya dilihat sebagai satu pasukan.

“Mereka berdua menyokong Anwar, mereka berdua juga berperang melawan PN dan kebebasan peribadi mereka berdua juga kini tidak menentu.

“Jadi, satu-satunya strategi Najib adalah dengan beralih pasukan dan menyokong perdana menteri sekarang ini,” tambah sumber itu lagi.