- Iklan -
Berita

Jangan leka, amal kawalan kendiri, kata pengerusi MPN

Muhyiddin saran orang ramai melakukan ujian kendiri bagi mengesan jangkitan Covid-19 dengan lebih cepat supaya isolasi boleh dilakukan dengan lebih efektif ketika kelonggaran diberikan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Suasana di Terminal Bersepadu Selatan masih tenang selepas Perdana Menteri mengumumkan bahawa aktiviti merentas negeri telah dibenarkan berkuat kuasa hari ini.
Suasana di Terminal Bersepadu Selatan masih tenang selepas Perdana Menteri mengumumkan bahawa aktiviti merentas negeri telah dibenarkan berkuat kuasa hari ini.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Muhyiddin Yassin menasihati rakyat Malaysia supaya mengamalkan kawalan kendiri serta tidak leka dan alpa walaupun telah dibenarkan rentas negeri bermula hari ini.

Beliau juga mengingatkan orang ramai untuk melakukan ujian kendiri bagi mengesan jangkitan Covid-19 dengan lebih cepat supaya isolasi boleh dilakukan dengan lebih efektif dalam usaha memutuskan rangkaian jangkitan virus itu dalam komuniti.

“Jika berkemampuan, kerap lakukan ujian kendiri Covid-19 terutamanya dengan kit di rumah sendiri yang dijual dengan harga berpatutan di farmasi dan dalam talian,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Bekas perdana menteri itu juga memuji pendirian kerajaan yang terus konsisten untuk memberi vaksin kepada seramai mungkin penduduk di negara ini sekali gus mengurangkan beban ke atas sektor kesihatan awam dan membolehkan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial dibuka.

“Kelonggaran hanya diberikan apabila risiko sektor dinilai, dan kerajaan sudah melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin dalam memberi suntikan vaksin kepada seramai mungkin penduduk di Malaysia,” katanya.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media khas semalam berkata kerajaan bersetuju membenarkan individu yang sudah lengkap vaksinasi Covid-19 melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis bermula hari ini.