- Iklan -
Berita

Lahir dan membesar di Klang, namun tiada tempat untuk dipanggil negara

Kasim dan adik-beradiknya habiskan seluruh hidup di kampung kecil mereka namun sedar sebagai pelarian, mereka masih dilihat sebagai orang asing.

Danisyah Dalily
2 minit bacaan
Kongsi
Kasim lahir dan tinggal di Klang, Malaysia, namun hanya memiliki kad UNHCR dan sijil kelahiran yang mengatakan dia bukan warganegara.
Kasim lahir dan tinggal di Klang, Malaysia, namun hanya memiliki kad UNHCR dan sijil kelahiran yang mengatakan dia bukan warganegara.

Kasim dilahirkan di sebuah kampung kecil Sungai Pinang, Klang, di mana dia membesar dan kemudian berkahwin.

Walaupun sejak kecil tinggal berjiran dengan orang kampungnya, dia selalu sedar wujud garis pemisah yang tidak kelihatan antara dia dan mereka.

Walaupun kejiranan itu ramah dan mesra terhadapnya dan keluarga, namun ada juga yang tidak begitu dan terkadang menjadi mangsa penghinaan.

“Mereka kata saya ini orang luar dan perlu balik ke negara saya,” katanya dalam wawancara bersama MalaysiaNow baru-baru ini.

Bagi Kasim, persoalan di mana tempat dia perlu balik sebenarnya adalah soalan yang sukar dijawab.

Kasim yang merupakan anak pelarian Rohingya menunjukkan sijil kelahiran yang mengatakan dia bukan warga Malaysia.

Sekitar 30 tahun lalu, ibu bapa Kasim melarikan diri ke Malaysia dari Arakan, Myanmar.

Lima orang cahaya mata pasangan itu dilahirkan dan dibesarkan di Malaysia di samping menunggu penempatan semula ke negara ketiga atau menunggu keadaan menjadi selamat untuk kembali ke kampung halaman.

Kasim dan adik-beradiknya memiliki sijil kelahiran dan juga kad UNHCR.

Namun, dari segi kerakyatan, mereka dianggap sebagai tidak bernegara.

Membesar dalam keadaan terumbang-ambing, mereka dengan cepat membiasakan diri dengan penghinaan yang dilemparkan.

Menurut Kasim, penghinaan yang paling menyakitkan datang daripada mereka yang beragama Islam namun masih sering mementingkan taraf sosial dan etnik mereka.

“Mendengar saudara Muslim kita sendiri beza-bezakan sesama kita buatkan saya rasa sedih,” katanya.

“Ketika mereka panggil saya dengan kata-kata yang menghina, atau lemparkan kata-kata yang kasar, saya tak dapat buat apa-apa, jadi saya telan sahaja semua itu.

“Satu-satunya perkara yang boleh saya lakukan ialah menangis sendirian.”

Malaysia adalah negara yang tidak terlibat dalam Konvensyen Pelarian 1951, yang turut dikenali sebagai Konvensyen Geneva, sebuah perjanjian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menentukan siapakah pelarian dan menetapkan hak-hak individu yang diberi suaka dan tanggungjawab negara-negara yang menerima mereka masuk sebagai pelarian.

Ia bermaksud tiada undang-undang domestik atau dasar-dasar yang diguna pakai dalam mengenal pasti, pendaftaran dan perlindungan pelarian yang tidak memiliki kewarganegaraan.

Kasim membetulkan mesin vakum yang rosak untuk dijual semula secara dalam talian.

Anak-anak pelarian tidak boleh bersekolah di sekolah kerajaan atau institusi pengajian tinggi kerana tidak mempunyai identiti rasmi seperti yang disediakan oleh MyKad Malaysia.

Mereka yang bersekolah pula secara umumnya didaftarkan di pusat-pusat swasta untuk golongan pelarian yang kebanyakannya ditubuhkan oleh masyarakat Rohingya bagi menyediakan sekurang-kurangnya pendidikan asas kepada anak-anak.

Namun sekolah-sekolah ini sering kekurangan dana jangka panjang dan hanya bergantung kepada sumbangan orang ramai.

Kasim dapat bersekolah di tempat sedemikian di Klang.

Di sana dia diajar mata pelajaran asas seperti Bahasa Inggeris, matematik dan sains.

Setelah berusia 11 tahun, dia belajar di sekolah agama berhampiran rumahnya.

Ketika ditanya mengenai cita-citanya sewaktu kecil, dia tersenyum dan berkata mahu menjadi seorang jurutera.

“Jika diberi peluang, saya ingin lanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan belajar sungguh-sungguh,” katanya.

“Saya suka matematik dan bercita-cita menjadi jurutera.”

Malangnya, kad UNHCR miliknya tidak memberikan sebarang perlindungan undang-undang kepadanya di negara ini, dan benar-benar tahu jurang besar antara dia dan impiannya itu.

Dalam keadaannya sekarang ini, sukar untuk Kasim mencari pekerjaan atau mendapatkan lesen memandu.

Walaupun begitu, lelaki Rohingya itu tetap ceria dan positif tentang masa depan.

Impiannya untuk menjadi seorang jurutera mungkin terpaksa disimpan, namun satu-satunya harapan Kasim adalah anak-anaknya yang dia harap dapat menjalani kehidupan yang lebih baik daripadanya.