- Iklan -
Berita

BN Melaka arah jentera bersedia hadapi pilihan raya tergempar

Ia adalah susulan penarikan sokongan empat Adun gabungan tersebut terhadap ketua menteri ketika ini Sulaiman Md Ali.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Barisan Nasional Melaka sedang mempersiapkan jentera pilihan raya bagi menghadapi PRN di negeri itu. Gambar: AP
Barisan Nasional Melaka sedang mempersiapkan jentera pilihan raya bagi menghadapi PRN di negeri itu. Gambar: AP

Barisan Nasional (BN) Melaka mengarahkan jentera pilihan raya di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya bersedia dalam menghadapi pilihan raya tergempar selepas empat ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) menarik sokongan semalam.

Dalam sebuah kenyataan pekeliling kepada ketua jentera pilihan raya daerah malam tadi, Timbalan Pengarah Pilihan Raya BN Melaka Hasnoor Husin berkata kesiapsiagaan jentera gabungan itu harus berada di tahap yang tinggi bagi memastikan kemenangan berada dalam genggaman BN pada pilihan raya negeri.

Pembubaran DUN Melaka akan menyaksikan pelaksanaan pilihan raya negeri kedua di Malaysia sejak pandemik melanda negara tahun lalu.

PRN Sabah diadakan September tahun lalu, selepas ketua menterinya dari Warisan, Shafie Apdal digulingkan.

“Jentera pilihan raya di semua peringkat hendaklah digerakkan pada kadar segera bagi memastikan kemenangan BN berada dalam genggaman dan seterusnya memertahankan kerusi DUN Melaka sebagai milik mutlak BN,” katanya.

Kenyataan itu tampil susulan kerajaan Melaka mungkin tumbang selepas empat Adun kerajaan menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali semalam.

Mereka termasuk; Adun Sungai Udang Idris Haron, Adun Pantai Kundur Nor Azman Hassan, Adun Pengkalan Batu Norhizam Hassan Baktee dan Adun Telok Mas Noor Effandi Ahmad.

“Saya Idris Haron, Adun Sungai Udang, bersama Pangkalan Batu, Teluk Emas, dan Pantai Kundur, mengumumkan kami hilang kepercayaan kepada ketua menteri Melaka dan seluruh barisan kepimpinan kerajaan.

“Kami berempat menyerahkan surat ketidakpercayaan kepada pejabat ketua menteri,” katanya pada sidang media semalam.

Idris yang merupakan bekas ketua menteri berkata keputusan kerajaan yang disifatkan sebagai “flip-flop” menjadi punca tindakan empat Adun itu.

Ditanya berhubung pembentukan kerajaan baru, Idris berkata pembentukan kerajaan negeri baru bersama Pakatan Harapan (PH) bergantung kepada kesediaan gabungan pembangkang tersebut.

DUN Melaka merupakan antara kubu kuat BN jatuh ke tangan Pakatan Harapan pada 2018 apabila memenangi 15 kerusi berbanding BN yang hanya memiliki 13 kerusi.

Sulaiman dari Umno mengangkat sumpah sebagai ketua menteri pada Mac tahun lalu selepas kerajaan diketuai PH jatuh di negeri tersebut.