- Iklan -
Berita

Pelancong mahu ke Langkawi wajib jalani saringan Covid-19, kata menteri kesihatan

Ujian pengesanan itu perlu dilakukan ke atas individu berusia 18 tahun ke atas serta remaja dan kanak-kanak berusia 7 hingga 17 tahun.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Setiap pelancong yang akan bercuti di Pulau Langkawi, Kedah bermula esok diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19, sebelum memulakan perjalanan mereka, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

“Ujian pengesanan itu perlu dilakukan ke atas individu dewasa (18 tahun ke atas) serta remaja dan kanak-kanak berusia tujuh hingga 17 tahun. Bagi kanak-kanak berusia enam tahun dan ke bawah, hanya saringan gejala perlu dilakukan mengambil kira keupayaan mereka untuk mengeluarkan saliva.

“Kumpulan kanak-kanak ini mesti bersama ibu bapa atau penjaga yang telah lengkap vaksinasi, bukan kes positif atau kontak rapat kepada kes positif, dan hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mereka yang terlibat boleh menjalani Fujian saringan sama ada menggunakan RT-PCR atau RTK-Antigent di mana-mana fasiliti kesihatan dan makmal sweats, atau menggunakan kit ujian kendiri saliva yang dibeli sendiri.

Khairy berkata untuk RT-PCR dan RTK-Antigent, individu perlu melakukannya dalam tempoh 48 jam sebelum tarikh berlepas dan keputusan ujian hendaklah dibawa bersama untuk pemeriksaan di pintu masuk iaitu lapangan terbang atau terminal feri, sebelum berlepas.

“Selain itu, pelancong boleh membeli kit ujian kendiri saliva dan membawanya ke lapangan terbang atau terminal feri untuk menjalani ujian pengesanan Covid-19, di tempat saringan yang disediakan.

“Atau pun pelancong boleh membeli kit ujian kendiri saliva melalui perkhidmatan yang akan disediakan oleh pihak swasta di tempat saringan di lapangan terbang atau terminal feri, dan menjalani ujian pengesanan di situ,” katanya.

Khairy berkata ujian yang dijalankan di lapangan terbang dan terminal feri terlibat akan dipantau dan disahkan oley anggota kesihatan yang bertugas.

“Bagi mereka yang didapati negatif Covid-19, mereka dibenarkan untuk meneruskan perjalanan, manakala individu yang didapati positif Covid-19, mereka tidak dibenarkan untuk meneruskan perjalanan dan akan diuruskan sebagaimana SOP pengurusan kes positif Covid-19 dan kontak rapat sedia ada,” katanya.

Beliau berkata projek rintis gelembung pelancongan domestik itu perlu dilaksanakan dengan berhati-hati bagi memastikan ia berjalan lancar dan tidak menyebabkan berlakunya peningkatan kes serta kluster baharu.

“Saya ingin memberi penekanan bahawa pelaksanaan gelembung pelancongan ini tidak bermakna, kerajaan memberi kelonggaran kepada masyarakat untuk tidak mengamalkan tindakan kesihatan awam kendiri seperti memakai pelitup muka, penjarakan fizikal dan mencuci tangan dengan kerap,” katanya.