- Iklan -
Berita

Tidak wajar tetapkan kuota VIP dalam masjid, kata mufti

Mufti Negeri Sembilan berkata penetapaan kuota VIP dibimbangi akan menyekat peluang jemaah lain untuk menunaikan solat.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Mufti Negeri Sembilam Mod Yusof Ahmad berkata penyediaan ruangan solat khas untuk individu tertentu, bukanlah satu kesalahan dari segi hukum agama, namun ia tidak harus dijadikan sebagai satu peraturan dalam masjid.
Mufti Negeri Sembilam Mod Yusof Ahmad berkata penyediaan ruangan solat khas untuk individu tertentu, bukanlah satu kesalahan dari segi hukum agama, namun ia tidak harus dijadikan sebagai satu peraturan dalam masjid.

Mufti Negeri Sembilan mempersoalkan penetapan jumlah kuota jemaah orang kenamaan (VIP) secara tetap di masjid, mengatakan ia adalah tidak wajar dan dibimbangi akan menyekat peluang jemaah lain untuk menunaikan solat.

Ketika dihubungi, Mohd Yusof Ahmad berkata penyediaan ruangan solat khas untuk individu tertentu, bukanlah satu kesalahan dari segi hukum agama, namun ia tidak harus dijadikan sebagai satu peraturan dalam masjid.

“Contohnya sebuah masjid tetapkan kuota 10 orang untuk VIP, tetapi apa akan jadi jika 10 individu itu tidak datang? Maka semua jemaah wajar diberi peluang sama rata,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Jawatankuasa masjid tidak patut adakan sebarang peraturan seperti itu.”

Baru-baru ini, sebuah klip video pendek tular di media sosial memaparkan seorang individu dipercayai orang kenamaan terus masuk ke Masjid Putra apabila dilihat baharu tiba sementara beberapa jemaah lain sedang menunggu giliran.

Video itu sekali gus mencetuskan kemarahan orang ramai yang mendakwa pihak masjid itu memberi “layanan dua darjat”.

Pihak pengurusan masjid kemudian memohon maaf serta menjelaskan mengenai situasi tersebut dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, penjelasan berasingan oleh Imam Besar Masjid Putra, Ikmal Zaidi Hashim menerusi hantaran video secara langsung di Facebooknya mendapat reaksi bercampur apabila beliau memberitahu terdapat kuota 10 peratus atau 30 orang untuk golongan VIP dalam masjid itu.

Yusof bagaimanapun menjelaskan, penyediaan ruangan khas kepada individu tertentu boleh dilaksanakan sekiranya pihak masjid mendapat permintaan.

“Di Negeri Sembilan, masjid tidak menetapkan kuota khas untuk VIP tetapi ada masanya Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan berkenaan menunaikan solat di Masjid Negeri di Seremban.

“Kebiasaannya baginda akan diiringi oleh menteri besar dan pegawai, maka pihak masjid akan dimaklumkan dan menyediakan ruang mengikut senarai kehadiran yang diberi,” katanya.

“Justeru, ruangan khas itu hanya disediakan selepas mendapat permintaan. Apabila VIP ini tidak hadir, maka ruangan itu akan dibuka kepada jemaah lain.”

Dalam pada itu, Yusof menasihatkan orang ramai untuk hadir lebih awal supaya berpeluang solat di dalam masjid.

“Jika tidak dapat solat kerana masjid sudah penuh, itu bukan salah pihak masjid.

“Perlu ada kuota sebagai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) demi menjaga keselamatan semua memandangkan negara sedang berdepan ancaman Covid-19,” tambahnya.