- Iklan -
Berita

Selepas diasak pelbagai pihak, Selangor wartakan semula hutan simpan

Amirudin berkata keputusan tersebut diambil dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor yang bersidang hari ini.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Besar Selangor Amiruddin Shari. Gambar: Facebook
Menteri Besar Selangor Amiruddin Shari. Gambar: Facebook

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari hari ini mengumumkan kerajaan negeri akan memulakan proses mewartakan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) selepas beberapa gesaan daripada persatuan penduduk, aktivis dan kumpulan alam sekitar.

Amirudin berkata keputusan tersebut diambil dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor yang bersidang hari ini.

“Kerajaan negeri akan menghentikan cadangan pelan pembangunan ke atas kawasan tersebut serta membatalkan pemberimilikan tanah itu kepada syarikat terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Sehubungan dengan itu, kerajaan Selangor akan memulakan proses mewartakan semula HSKLU.”

Bagaimanapun, Amirudin berkata sebanyak 104 ekar daripada jumlah keseluruhan 1,326 ekar HSKLU akan kekal dinyahwartakan bagi melengkapkan pemberimilikan tanah kepada Kampung Orang Asli Busut Baru.

“Ia bagi menyelesaikan isu yang tertangguh sejak tahun 2006. Mereka dipindahkan dari penempatan asal mereka pada 1994 untuk tujuan pembinaan KLIA,” katanya.

Amiruddin juga menegaskan segala proses penyahwartaan sebelum ini telah mengikut segala prosedur dan tatacara yang dinyatakan mengikut lunas undang-undang.

“Kerajaan negeri akan menulis surat kepada YB Speaker Dewan Negeri Selangor untuk mengadakan sidang Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) bagi menjawab sebarang isu-isu yang dibangkitkan berkenaan dengan penyahwartaan sebelum ini,” katanya.