- Iklan -
Berita

Wakil rakyat perlu amal politik matang, kata Pemangku Raja Pahang

Tengku Hassanal turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Ahli Parlimen Bera Ismail Sabri Yaakob atas pelantikan sebagai perdana menteri.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Tangkap layar Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Sultan Abdullah ketika berucap di DUN Pahang hari ini.
Tangkap layar Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Sultan Abdullah ketika berucap di DUN Pahang hari ini.

Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Sultan Abdullah hari ini menasihatkan wakil rakyat negeri ini agar mengamalkan politik lebih matang, jujur dan ikhlas untuk membantu rakyat serta memajukan negara.

Baginda bertitah rakyat dan negara tidak wajar dibebani dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan, terutamanya dalam situasi pandemik Covid-19 yang menyebabkan ramai rakyat terkesan menaruh harapan tinggi kepada wakil rakyat.

“Suka saya ingatkan kepada semua ini bukan masanya untuk kita bersengketa dan bukan masanya untuk kita banyak bicara tanpa berbuat apa-apa. Sebaliknya ini masanya untuk kita semua bersama demi negara, negeri dan rakyat jelata.

“Saya menyeru agar semua Yang Berhormat untuk berbahas secara rasional dan berpengang kepada prinsip mendahulukan kepentingan rakyat serta kemakmuran negeri,” titah baginda semasa menyempurnakan Istiadat Pembukaan Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini.

Tengku Hassanal juga menitahkan semua 42 ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pahang supaya sentiasa menghayati, melindungi, memelihara dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang.

Dalam titah itu, Tengku Hassanal turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Ahli Parlimen Bera Ismail Sabri Yaakob atas pelantikan sebagai perdana menteri kesembilan dan menasihatkan beliau supaya menjalankan amanah tersebut sebaik-baiknya.

Selain itu, Tengku Hassanal juga menzahirkan hasrat supaya kerajaan Pahang menjadi contoh dalam amalan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), dengan berharap prinsip tersebut dijadikan panduan dalam setiap perkara agar tidak bersifat retorik semata-mata.

Kerajaan Pahang yang diterajui Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail juga dititahkan supaya menambah keluasan kawasan hutan simpanan kekal yang kini berjumlah 1.59 juta hektar supaya negeri ini kekal signifikan sebagai ‘green lung’ atau kawasan hijau Semenanjung Malaysia.

Titah baginda, Pahang dengan keluasan hampir 3.6 juta hektar mempunyai peratusan kawasan hutan yang masih tinggi iaitu 57% dari keluasan negeri yang dilihat menjadi penyumbang oksigen utama selain habitat bagi hidupan liar, flora dan fauna di Semenanjung Malaysia.

“Saya menyokong usaha kerajaan saya bertindak tegas dalam aktiviti penguatkuasaan seperti operasi membanteras penerokaan tanah secara haram dan berharap, ia diteruskan tanpa gentar atau pilih kasih demi memastikan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan hutan dan alam sekitar berkekalan,” titah baginda.