- Iklan -
Berita

Muhyiddin harap kerajaan Kedah segerakan bantuan kepada penduduk terjejas

Beberapa kawasan kampung dan taman perumahan di sekitar Gunung Jerai, dilanda banjir dipercayai akibat kejadian fenomena kepala air kira-kira pukul 4.00 petang semalam.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Kesan fenomena kepala air yang berlaku di Yan, Kedah semalam akibat hujan lebat. Gambar: Bernama
Kesan fenomena kepala air yang berlaku di Yan, Kedah semalam akibat hujan lebat. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Sementara Muhyiddin Yassin berharap agar kerajaan negeri Kedah serta agensi berkaitan, dapat menggerakkan segera semua bentuk bantuan kepada penduduk di kampung yang terjejas fenomena kepala air.

Beliau yang mengikuti rapat bencana berkenaan yang melanda beberapa buah kampung di daerah Yan, Kedah, berkata, aspek keselamatan dan bekalan makanan perlu menjadi keutamaan ketika ini.

“Saya difahamkan bahawa petugas keselamatan dan kecemasan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), melakukan operasi menyelamat dan pemantauan bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan bencana terjamin.

“Semoga tugas pasukan keselamatan ini dipermudah, manakala penduduk yang terjejas serta terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara disediakan bantuan dan perlindungan sewajarnya, dengan selamat dan teratur terutamanya ketika dalam situasi pandemik Covid-19,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian dalam catatan yang dimuat naik menerusi Facebook rasminya, malam tadi.

Terdahulu, beberapa kawasan kampung dan taman perumahan di sekitar Gunung Jerai, dilanda banjir dipercayai akibat kejadian fenomena kepala air kira-kira pukul 4.00 petang semalam dan meragut satu nyawa setakat ini.