PM bentang PPN pada sidang khas Dewan Rakyat hari ini
Ahli Parlimen akan diberikan ruang untuk meminta penjelasan dan mengemukakan pandangan sebelum menteri memberi jawapan berhubung isu yang dibangkitkan.
Terkini
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan membentangkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada sidang khas Dewan Rakyat yang dijadual bermula pukul 10 pagi, hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, persidangan selama lima hari itu juga akan menyaksikan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba memberi penerangan mengenai tindakan menangani pandemik Covid-19.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dijadual menerangkan berkenaan program vaksinasi.
Sementara itu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz akan menerangkan mengenai pakej-pakej bantuan ekonomi manakala Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob merangkap menteri pertahanan dijadual memberi penerangan mengenai pelaksanaan darurat, pada akhir mesyuarat kelak.
Semasa sesi penerangan itu, ahli Parlimen akan diberikan ruang untuk meminta penjelasan dan mengemukakan pandangan sebelum menteri memberi jawapan berhubung isu yang dibangkitkan.
Sebanyak 12 dokumen merangkumi tiga Proklamasi Darurat dan sembilan Ordinan Darurat akan dibawa ke dalam mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.
Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 berlangsung selama lima hari, mulai hari ini sehingga 29 Julai dan 2 Ogos.
Pada sidang khas itu, kesemua 220 Ahli Parlimen termasuk yang belum divaksin dibenarkan hadir ke Dewan Rakyat dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, termasuk perlu menjalani ujian saringan Covid-19 serta memakai pelitup muka.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.