- Iklan -
Berita

Guru baru dari pengambilan besar-besaran harus dipersiapkan, kata pendidik

Pakar berkata 'tiada ruang untuk melatih mereka' sementara ada pula yang menyarankan latihan pra-perkhidmatan kerana guru baru tidak memiliki persiapan dalam kaedah pembelajaran dalam talian ketika pandemik.

Farhira Farudin
3 minit bacaan
Kongsi
Pakar berkata kekurangan guru terutama di kawasan pedalaman dan luar bandar menjadi masalah yang sudah lama dihadapi sektor pendidikan negara.
Pakar berkata kekurangan guru terutama di kawasan pedalaman dan luar bandar menjadi masalah yang sudah lama dihadapi sektor pendidikan negara.

Beberapa pakar pendidikan berkata calon yang dipilih melalui usaha pengambilan besar-besaran bagi jawatan guru harus dilengkapi dengan kemahiran diperlukan untuk meringankan beban guru sedia ada yang kebanyakannya bergelut dengan kekurangan sumber dan sokongan.

Ketua Pegawai Eksekutif Teach For Malaysia Chan Soon Seng berkata kekurangan guru yang mahu diatasi melalui pengambilan besar-besaran adalah masalah yang sudah lama berlaku, terutama di kawasan luar bandar.

Katanya, hal ini menyebabkan ramai guru terpaksa mengajar lebih banyak kelas daripada sesi yang sepatutnya mereka penuhi, sambil menambah bahawa hal ini boleh menyebabkan beban kerja melampau sehingga mengakibatkan guru-guru mengalami keletihan.

“(Mereka juga terpaksa) mengajar mata pelajaran yang bukan kemahiran mereka, atau terlalu banyak mata pelajaran yang terpaksa mereka ambil sehingga tiada peluang untuk menjadi pakar dalam satu mata pelajaran tertentu,” katanya.

Dalam beberapa situasi, tambahnya, tiada guru untuk beberapa mata pelajaran sehingga skop pembelajaran bagi pelajar menjadi terbatas.

Chan juga bercakap mengenai kekurangan sumber untuk menyediakan pembelajaran dalam talian yang berkesan bagi pelajar.

Katanya, ramai guru terpaksa menggunakan wang sendiri untuk membeli peralatan yang diperlukan.

Walaupun kehadiran guru baru akan dapat mengubah suasana, Chan berkata kerajaan harus menumpukan perhatian untuk memberikan sokongan kepada guru dalam usaha menjalankan pembelajaran secara dalam talian.

“Ini mungkin bermakna menyediakan guru perkhidmatan penghantaran sehingga mereka dapat mengirim bahan kepada pelajar, atau sumber yang mereka perlukan untuk membuat paket dan bahan pembelajaran.

“Selepas sekolah dibuka semula, ketika itu barulah bekalan guru tambahan mungkin beri kesan yang lebih besar. Ia akan dapat membantu sekolah memastikan mereka mempunyai guru yang cukup untuk kelas yang terpaksa melaksanakan SOP penjarakan fizikal jika diperlukan, dan bagi memenuhi keperluan pelajar yang berbeza akibat pandemik,”katanya.

Bulan lalu, kementerian pendidikan berkata sekitar 18,000 guru akan direkrut sebagai sebahagian dari usaha mengatasi kekurangan guru di negara ini, penempatan mereka dijangka akan dimulakan pada Oktober depan.

Menteri Pendidikan Radzi Jidin berkata lulusan dalam bidang pendidikan akan diberi keutamaan walaupun mereka dari bidang lain juga turut akan direkrut.

Pengerusi Pusat Kajian Kepimpinan & Polisi Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia Azlin Norhaini Mansor bersetuju usaha pengambilan guru dapat membantu menyelesaikan kekurangan namun mengatakan keperluan itu harus diperbaiki lagi.

Beliau memberitahu MalaysiaNow calon sudah semestinya harus memiliki kemahiran mengajar yang diperlukan, mengatakan “tiada ruang untuk melatih mereka” kerana masalah ini sudah lama berlaku.

“Kementerian juga harus fokus terhadap usaha mengembangkan kemampuan guru di sekolah dengan jumlah pelajar yang lebih sedikit, pelajar berkeperluan khas, pra sekolah, dan institusi teknik dan vokasional,” katanya.

“Tanpa kemahiran mengajar yang betul, saya bimbang ia akan mempengaruhi kualiti proses pembelajaran.”

Azlin mengesyorkan guru-guru yang direkrut perlu dinilai berdasarkan keperluan setiap sekolah, mengatakan setiap sekolah mempunyai keperluan yang berbeza mengikut lokasi, mata pelajaran yang ditawarkan, kapasiti bangunan dan kepelbagaian pelajar.

“Ini mesti dipertimbangkan ketika menentukan jumlah dan pilihan guru yang diperlukan. Kementerian pendidikan perlu mengkaji semula pendekatan dalam menempatkan guru dan memperbaikinya,” tambahnya.

“Pengambilan besar-besaran ini mungkin gagal jika calon terpilih tidak ditempatkan di sekolah dengan keperluan yang sesuai untuk mereka.”

Dalam pada itu, Chan turut menyarankan agar calon diberi latihan pra-perkhidmatan, mengatakan kebanyakan graduan pendidikan belum dilatih bagi pembelajaran di rumah yang digunakan sepanjang pandemik.

“Sangat penting untuk memastikan ada sokongan berterusan untuk lengkapkan kemahiran guru baru dengan kemahiran digital bagi memudahkan pembelajaran dalam talian, selain mengintegrasikan kemahiran digital ke dalam pembelajaran secara bersemuka apabila kelak sekolah dibuka semula.

“Mereka juga perlu dilengkapi dengan kemahiran untuk menyampaikan mod pembelajaran di rumah yang bukan digital, kerana ramai pelajar tidak memiliki internet,” katanya.