- Iklan -
Berita

Polis siasat video tular pelanggaran SOP solat Aidiladha

Polis sedang mengesan semua jemaah terlibat yang dipercayai warga asing dan penduduk di kawasan berkenaan bagi membantu siasatan berhubung kejadian yang tular itu.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Video tular ratusan individu dipercayai warga asing melanggar SOP solat sunat Aidiladha dengan melakukan solat itu di kawasan terbuka dan tepi jalan di Surau Taman Pelangi, Juru di Bukit Mertajam hari ini.
Video tular ratusan individu dipercayai warga asing melanggar SOP solat sunat Aidiladha dengan melakukan solat itu di kawasan terbuka dan tepi jalan di Surau Taman Pelangi, Juru di Bukit Mertajam hari ini.

Polis melakukan siasatan lanjut berhubung video tular ratusan individu dipercayai warga asing melanggar prosedur operasi standard (SOP) solat sunat Aidiladha dengan melakukan solat itu di kawasan terbuka dan tepi jalan di Surau Taman Pelangi, Juru di Bukit Mertajam hari ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata pihaknya juga sedang mengesan semua jemaah terlibat yang dipercayai warga asing dan penduduk di kawasan berkenaan bagi membantu siasatan berhubung kejadian yang tular itu.

“Berdasarkan siasatan awal, pihak surau memaklumkan surau tersebut dibenarkan untuk mengadakan solat Jumaat dan solat sunat Aidiladha dengan kapasiti maksimum seramai 100 orang sahaja namun pagi tadi ia menerima limpahan kehadiran orang ramai yang mahu menunaikan solat itu melebihi jumlah yang dibenarkan untuk SOP solat sunat tersebut.

Ekoran itu pengurusan surau mengarahkan mereka yang lain pulang dan menutup pintu pagar surau selepas kapasiti 100 jemaah cukup bagi mengelak lebih ramai yang masuk untuk menunaikan solat (sunat Aidiladha) dengan lebih 200 orang dipercayai kebanyakan warga asing bertindak solat di kawasan terbuka dan tepi jalan surau tersebut,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya pengurusan surau kemudiannya meneruskan solat sunat Aidiladha dan tidak bertindak untuk menyuraikan mereka yang solat di luar kerana sedia maklum akan sensitiviti solat malah turut tidak menghubungi polis bagi memaklumkan keadaan itu.

Shuhaily berkata siasatan juga mendapati kejadian solat beramai-ramai di luar surau itu adalah tindakan spontan namun pihaknya menjalankan siasatan lanjut dan terperinci jika terdapat perancangan awal mereka berkumpul untuk menunaikan solat Aidiladha.

Katanya ratusan individu itu juga bersurai selepas menunaikan solat sunat Aidiladha yang bermula pukul 8.30 pagi hingga 9 pagi dan berdasarkan keterangan awal pihak pengurusan surau, semua mereka menunaikan solat di kawasan terbuka tersebut mematuhi SOP dengan penjarakan fizikal yang ditetapkan.

“Berdasarkan siasatan awal, pasukan polis telah membuat rondaan pematuhan SOP di kawasan surau itu pagi tadi dan 180 buah masjid serta 57 buah surau lain di seluruh negeri, namun tidak dapat mengesan awal insiden tersebut,” katanya.

Katanya orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung jemaah-jemaah yang hadir menunaikan solat sunat Aidiladha di kawasan lapang itu boleh menyalurkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan kes itu.

Beliau berkata pihaknya menjalankan siasatan kes itu menurut Seksyen 269 Kanun Keseksaan yang merujuk kepada perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit berbahaya kepada nyawa dan Seksyen 270 kanun sama, iaitu perbuatan jahat yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa.

Shuhaily berkata berdasarkan maklumat, kawasan Taman Pelangi itu didiami lebih 8,000 orang di 23 buah flat di situ dengan 70 peratus penduduknya adalah warga asing yang bekerja di kilang-kilang di situ dan menjadi kebiasaan lebih 300 jemaah solat Jumaat di surau berkenaan.

Katanya setakat ini tiada keperluan untuk pihak pengurusan surau itu dikompaun kerana mereka mematuhi SOP yang ditetapkan malah mengikut arahan Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP) dengan menunaikan solat itu dalam masa singkat serta jumlah jemaah ditetapkan.

“Bagi pihak Polis Pulau Pinang saya meminta maaf berhubung kejadian itu dan saya mohon kepada semua masjid serta surau di negeri ini untuk mematuhi SOP dan memaklumkan kepada polis jika terdapat pelanggaran (SOP) atau orang ramai berkumpul dengan menghubungi talian 04-2217222,” katanya.