- Iklan -
Berita

Mahkamah ketepikan sabitan bersalah kes rasuah RM2 juta Ku Nan

Hukuman penjara 12 bulan juga turut diketepikan Mahkamah Rayuan hari ini.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Disember 2020. Gambar: Bernama
Bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Disember 2020. Gambar: Bernama

Mahkamah Rayuan hari ini mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta terhadap bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor.

Panel tiga hakim yang bersidang iaitu hakim Suraya Othman, Abu Bakar Jais dan Ahmad Nasfy Yasin telah mendengar rayuan hari ini.

Hakim Suraya Othman membacakan keputusan majoriti 2-1 berkata Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam penghakimannya apabila beliau mendapati perayu (Adnan) bersalah atas pertuduhan itu.

“Perayu sepatutnya telah dibebaskan. Kami perlu campur tangan dan benarkan rayuan ini. Oleh sebab itu kami mengetepikan sabitan dan hukuman oleh Hakim Mahkamah Tinggi,” kata Suraya.

Hakim Ahmad Nasfy bersetuju dengan Suraya, manakala Abu Bakar Jais, menentang.

Pada 21 Disember, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan menjatuhi hukuman penjara 12 bulan dan mengenakan denda RM2 juta terhadap Adnan yang dikenali sebagai Ku Nan, selepas beliau didapati bersalah.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan permohonan ahli Parlimen Putrajaya itu untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan.

Tengku Adnan, 70, didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu menteri Wilayah Persekutuan, menerima RM2 juta daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) Chai Kin Kong melalui cek didepositkan ke dalam akaun bank milik syarikat Tadmansori Holdings Sdn Bhd yang beliau mempunyai kepentingan dan diketahui wujud perhubungan antara syarikat AKSB dengan tugas rasminya.

Adnan didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara pada 14 Jun 2016 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda.