- Iklan -
Berita

Mohd Bakke Salleh pengerusi baru Petronas

Beliau akan menggantikan Ahmad Nizam yang kini pengerusi PHB.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Mohd Bakke Saleh. Gambar: Laman sesawang Yayasan Sime Darby
Mohd Bakke Saleh. Gambar: Laman sesawang Yayasan Sime Darby

Bekas pengerusi Telekom Malaysia Berhad, Mohd Bakke Salleh dilantik menjadi pengerusi Petronas baru, menggantikan Ahmad Nizam Salleh yang akan menjadi pengerusi Permodalan Hartanah Berhad (PHB) berkuat kuasa 1 Ogos ini.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan memaklumkan pelantikan itu merupakan program mentransformasikan syarikat berkaitan kerajaan supaya bersedia menghadapi fasa pemulihan pasca Covid-19.

“Mohd Bakke merupakan ahli korporat yang berpengalaman luas dan telah berkhidmat dalam pelbagai bidang ekonomi dan kewangan.

“Diharapkan kemahiran dan pengalaman yang dimiliki beliau serta sokongan padu daripada lembaga pengarah dan pasukan sedia ada akan dapat membawa Petronas melalui tempoh mencabar sekarang ke tahap yang lebih cemerlang,” kata PMO dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Ahmad Nizam menjadi pengerusi Petronas sejak tiga tahun lalu dan mempunyai pengalaman 37 tahun berkhidmat untuk Petronas.

“Ahmad Nizam akan kekal sebagai pengerusi kumpulan syarikat KLCC. Pengalaman beliau di Petronas dan dalam pengurusan hartanah utama di KLCC akan membawa nafas baru kepada hala tuju dan pengurusan PHB dalam meningkatkan pemilikan Bumiputera terhadap hartanah komersial negara.”

PMO turut menyampaikan penghargaan kepada Ahmad Nizam yang berjaya mengemudi syarikat nasional itu menghadapi ketidaktentuan harga minyak dunia dan pandemik Covid-19.