- Iklan -
Berita

‘Saya tiada kuasa untuk percepat usul undi tak percaya,’ speaker Dewan Rakyat beritahu Ku Li

Azhar turut menafikan secara tegas bahawa beliau tidak memungkiri sumpah jawatannya sebagai yang di-pertua Dewan Rakyat.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.

Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun hari ini menegaskan semula beliau tidak mempunyai kuasa untuk mempercepatkan apa-apa usul undi tidak percaya di Parlimen bagi dibahaskan terlebih awal daripada urusan lain mengikut aturan persidangan.

Dalam sebuah surat kepada Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, Azhar berkata beliau hanya menjalankan tugas mengikut kuasa yang ada padanya mengikut kerangka undang-undang sedia ada.

“Untuk memberi keutamaan kepada usul undi tidak percaya, mengikut konvensyen Parlimen UK, laluan perlulah diberikan oleh pihak kerajaan. Ini selari dengan anggapan bahawa masa urusan kerajaan itu ialah satu aset,” kata Azhar kepada Razaleigh dalam surat bertarikh 2 Julai, 2021.

“Di Parlimen Malaysia pula, peraturan-peraturan majlis mesyuarat menetapkan bahawa hanya majlis mesyuarat yang dapat memutuskan untuk lari daripada aturan mesyuarat yang ditetapkan.”

Azhar turut menafikan tuduhan Razaleigh yang mengatakan beliau bercanggah sumpah jawatan beliau sebagai speaker Dewan Rakyat.

“Saya menerima segala kritikan Tengku dengan hati yang terbuka.

“Namun dengan hormat terleih dahulu, saya perlu nafikan bahawa saya melanggar sumpah jawatan dan tidak menjalankan tugas mengikut Perlembagaan Persekutuan ataupun mengikut lunas-lunas kewajipan saya sebagai yang di-pertua Dewan Rakyat, mahupun lunas sistem demokrasi yang negara kita amalkan,” katanya.

Pada Oktober tahun lalu, Razaleigh menyuarakan beliau mahu usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dibahaskan di Dewan Rakyat.

Dalam sebuah surat pada 25 September, Razaleigh mendakwa kerajaan pimpinan Muhyiddin menolak usul yang sama untuk dibahaskan sebanyak dua kali.

“Usul tidak percaya ini adalah amat penting atas beberapa sebab keperlembagaan termasuk kesahihan kerajaan sekarang ini di bawah kepimpinan perdana menteri.

“Sekiranya usul tersebut disokong oleh sebahagian besar (majoriti) ahli-ahli Dewan Rakyat, akibat keperlembagaan yang menyusulnya haruslah dipersembahkan ke pengetahuan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Pada 25 Jun lalu Razaleigh sekali lagi mengutus surat kepada speaker Dewan Rakyat.

Surat itu antara lain mendakwa Azhar tidak menghiraukan dan sekali gus memungkiri sumpah jawatannya sebagai speaker selain menyatakan isu kemelut lompat-melompat parti dalam negara.