- Iklan -
Berita

Ahli Parlimen Umno, BN ikrar tak akan sokong usul undi tidak percaya

Ismail Sabri berkata ahli Parlimen Umno dan BN akan menumpukan perhatian kepada usaha memerangi Covid-19 dan isu melibatkan rakyat.

Farhira Farudin
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Muhyiddin di Dewan Rakyat pada Disember tahun lalu. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Muhyiddin di Dewan Rakyat pada Disember tahun lalu. Gambar: Bernama

Ahli-ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional hari ini bersetuju Parlimen bersidang semula mengikut peraturan mesyuarat sedia ada di samping turut berikrar mereka tidak akan menyokong usul menjatuhkan kerajaan ketika ini.

Dalam satu kenyataan, Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob berkata ahli Parlimen Umno dan BN harus sepakat untuk menumpukan usaha memerangi pandemik Covid-19 selain berbincang isu yang melibatkan rakyat.

“Kami amat mengharapkan sidang Parlimen ini akan dapat memberi tumpuan kepada isu-isu yang dihadapi rakyat dalam mendepani pandemik Covid-19.

“Oleh yang demikian dan bagi menjunjung titah Tuanku supaya suhu politik dapat diredakan maka kami setuju untuk tidak menyokong usul undi tidak percaya sekiranya dikemukakan,” katanya.

Dalam kenyataan yang sama, Ismail yang juga menteri kanan dan jurucakap kerajaan dalam perang Covid-19 berkata menteri dan timbalan menteri Umno dan BN akan komited sepenuhnya dalam melaksanakan tugas- tugas “terutamanya melibatkan tugas dan portfolio yang berkait secara langsung dalam mengekang penularan Covid-19, pelaksanaan vaksinasi serta pemulihan ekonomi rakyat dan negara.

Kenyataan terbaru itu menambah satu lagi respons terbaru daripada pemimpin Umno menyatakan sokongan mereka terhadap dua kenyatan Yang di-Pertuan Agog dan Majlis Raja-Raja Melayu susulan mesyuarat khas Istana Negara minggu lalu.

Dalam kenyataan mereka, antara lain Raja Melayu menggesa sidang Parlimen yang ditangguhkan sejak Januari lalu diadakan semula secepat mungkin.

Mereka turut mengingatkan supaya suhu politik dalam negara diredakan.

“Pentingnya sebuah kerajaan yang stabil dan mendapat keyakinan serta mendapat sokongan majoriti rakyat,” kata kenyataan itu lagi.