- Iklan -
Berita

Kerajaan terima RM336 juta wang berkait 1MDB daripada Deloitte PLT

Usaha pemulihan aset 1MDB and SRC akan tertumpu kepada pihak yang menyebabkan kerugian kepada kedua-dua entiti itu, menurut MOF.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Kerajaan setakat ini telah menerima bayaran balik sebanyak RM12.54 bilion daripada hutang. Gambar: AP
Kerajaan setakat ini telah menerima bayaran balik sebanyak RM12.54 bilion daripada hutang. Gambar: AP

Kerajaan telah menerima RM336 juta (AS$89 juta) bayaran daripada Deloitte PLT yang merupakan sebahagian daripada penyelesaian berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang telah didepositkan ke Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset, menurut satu kenyataan kementerian kewangan (MOF).

Dalam satu kenyataan, MOF memaklumkan jumlah dalam akaun amanah tersebut akan digunakan untuk melunaskan baki hutang 1MDB dan SRC International.

“Sehingga kini, Akaun Amanah berkenaan- di bawah seliaan Jabatan Akauntan Negara- telah menerima sebanyak RM16.386 bilion dana yang disita dan dipulangkan berkaitan 1MDB.

“Jumlah di dalam Akaun Amanah tersebut akan digunakan untuk melunaskan baki hutang 1MDB dan SRC. Baki ini tidak termasuk jumlah penyelesaian sebanyak RM2.83 bilion yang akan diterima dari Kumpulan Ambank dalam masa terdekat,” menurut kenyataan itu.

Tambah MOF, kerajaan telah melunaskan sebanyak RM12.54 bilion hutang 1MDB dan RM3.1 bilion hutang SRC. Setakat 31 Mei 2021, baki hutang merangkumi prinsipal dan kupon, keuntungan atau faedah bagi bon, sukuk dan pinjaman berjangka, adalah sebanyak RM39.66 bilion bagi 1MDB dan RM2.57 bilion bagi SRC.

Menjelaskan mengenai baki semasa akaun amanah itu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Aziz menyatakan ia hanya cukup untuk melunaskan prinsipal dan faedah hutang 1MDB untuk tahun ini dan tahun depan.

“Setelah semua dana Akaun Amanah digunakan, kerajaan masih perlu menanggung obligasi bayaran baki hutang 1MDB memandangkan hutang tersebut adalah disokong oleh kerajaan melalui jaminan kerajaan dan surat sokongan semasa hutang-hutang ini diterbitkan,” katanya.

Beliau memaklumkan usaha pemulihan aset 1MDB dan SRC oleh kerajaan akan menumpukan kepada pihak-pihak yang telah menyebabkan kerugian kepada 1MDB dan SRC, termasuk pihak-pihak yang telah menerima wang SRC yang disamarkan sebagai aktiviti kebajikan.

“Semua yang terlibat akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas salah laku melalui penglibatan di dalam 1MDB atau SRC,” jelas kenyataan itu.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.