- Iklan -
Berita

TUDM beri amaran kedaulatan terancam selepas 16 pesawat China dikesan terbang ‘mencurigakan’

Penerbangan pesawat-pesawat PLAAF tersebut dikesan oleh radar pertahanan udara di Sarawak.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pesawat Ilyushin Il-76 adalah antara pesawat China yang dikesan TUDM semalam. Gambar: TUDM
Pesawat Ilyushin Il-76 adalah antara pesawat China yang dikesan TUDM semalam. Gambar: TUDM

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini memberi amaran ancaman serius kepada kedaulatan negara selepas 16 pesawat China dikesan di ruang udara Malaysia.

Dalam kenyataan hari ini TUDM berkata ia mengesan 16 pesawat tentera udara China (PLAAF) jenis Ilyushin Il-76 dan pesawat Xian Y-20 dikesan melakukan penerbangan yang mencurigakan di ruang udara zon maritim Malaysia berhampiran Kota Kinabalu, Sabah pukul 11.53 semalam.

Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Ackbal Abdul Samad berkata, penerbangan pesawat-pesawat PLAAF tersebut dikesan oleh radar pertahanan udara di Sarawak.

“Pesawat tersebut telah dikesan terbang secara formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika di antara satu sama lain. Formasi panjang tersebut juga terbang dengan paten dan haluan yang sama menggunakan satu titik laluan masuk dan keluar.

“Mereka kemudiannya didapati mengubah arah penerbangan di ruang udara Beting Patinggi Ali yang berkepentingan kepada negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pesawat-pesawat tersebut dikesan terbang pada ketinggian di antara 23,000 kaki sehingga 27,000 kaki dengan kelajuan 290 knots melalui flight information region (FIR) Singapura sebelum memasuki  Kota Kinabalu dan seterusnya terbang menghala menghampiri 60 batu nautika daripada pesisir pantai Wilayah Sarawak.

“Pihak TUDM meletakkan pesawat Hawk 208 daripada No. 6 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan di dalam keadaan siap sedia melalui Operasi Curiga TUDM.

“Apabila arahan tidak dipatuhi dan didapati melangkaui persempadanan FIR Kota Kinabalu menghala ke ruang udara nasional, TUDM melancarkan pesawat-pesawat pemintas pada pukul 1.30 petang untuk melakukan  identifikasi visual,” tambah beliau.

Insiden itu tegasnya merupakan ancaman yang serius terhadap kedaulatan negara dan keselamatan penerbangan berdasarkan kepadatan trafik udara di dalam laluan penerbangan dalam FIR Kota Kinabalu.

Beliau menjelaskan insiden dikendalikan oleh TUDM berlandaskan undang-undang dan peraturan penerbangan antarabangsa

International Civil Aviation Organization (ICAO) serta Strategi Pertahanan Udara Nasional.