- Iklan -
Luar Sana

AS lulus jual senjata kepada Taiwan

Senjata bernilai kira-kira RM2.77 bilion itu bagi membantu Taiwan meningkatkan keupayaan pertahanannya, menurut laporan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Askar Taiwan memegang bendera negara semasa latihan ketenteraan bertujuan menangkis serangan China di daerah Hsinchu, utara Taiwan, dalam foto fail 19 Januari 2022. Gambar: AP
Askar Taiwan memegang bendera negara semasa latihan ketenteraan bertujuan menangkis serangan China di daerah Hsinchu, utara Taiwan, dalam foto fail 19 Januari 2022. Gambar: AP

Amerika Syarikat (AS) telah meluluskan perjanjian penjualan senjata bernilai AS$619 juta (lebih kurang RM2.77 bilion) kepada Taiwan untuk membantu pulau itu meningkatkan keupayaan pertahanan, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Menurut Kementerian Luar Taiwan, perjanjian itu merupakan penjualan senjata kesembilan oleh pentadbiran Presiden Joe Biden kepada Taiwan bagi memenuhi janjinya untuk menormalisasikan dasar penjualan peralatan dan perkhidmatan ketenteraan ke Taiwan.

AS terikat secara sah untuk menyokong keupayaan pertahanan Taiwan mengikut Akta Perhubungan Taiwan 1979.

Pada Rabu, kenyataan Agensi Kerjasama Keselamatan Pertahanan AS (DSCA) memaklumkan bahawa perjanjian itu antara lain merangkumi peluru berpandu dan peralatan yang akan digunakan oleh jet pejuang F-16 termasuk peluru berpandu antiradiasi dan pelancar roket.

"Penjualan itu akan menyumbang kepada keupayaan penerima untuk menyediakan pertahanan ruang udara dan keselamatan serantau dengan Amerika Syarikat," kata DSCA AS.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan Taiwan gembira dengan kelulusan perjanjian itu yang dijangka berkuat kuasa sebulan selepas Kongres AS dimaklumkan.