KDN gerakkan 70,000 anggota penguatkuasa ‘lockdown’
Sekatan jalan raya juga akan ditingkatkan di seluruh negara kepada 800 berbanding 600 ketika ini.
Terkini
Kementerian dalam negeri hari ini mengumumkan penambahan 33,000 anggota terdiri daripada polis dan agensi-agensi penguatkuasa yang lain untuk bertugas sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) atau “lockdown” yang akan bermula 1 Jun ini.
“Kekuatan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditambah kepada 55,000 anggota sepanjang pelaksanaan ‘lockdown’ kali ini berbanding 37,000 anggota semasa.
“Disamping PDRM, KDN juga telah menggerakkan seramai 15,000 anggota lagi daripada agensi-agensi penguatkuasaan yang lain yang menjadikan jumlah kekuatan tambahan keseluruhan sebanyak 70,000 anggota,” kata menterinya, Hamzah Zainuddin dalam kenyataan hari ini sambil menambah pihaknya bersedia untuk menambah jumlah anggota jika diperlukan melalui PDRM, JIM, APMM, Rela, Escomm, Aksem, Penjara, PKK serta AADK yang boleh digerakkan bagi tujuan penugasan tersebut.
Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin turut berkata polis akan meningkatkan sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negara kepada lebih 800 SJR berbanding 600 SJR pada masa ini.
Menurut Hamzah, pemeriksaan secara mengejut akan dilaksanakan Tim Pemantauan Pematuhan SOP terdiri daripada beberapa kementerian termasuk Miti, kementerian sumber manusia (KSM), kerja raya (KKR) dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan pematuhan SOP dalam kalangan sektor sosial dan ekonomi.
“Jumlah Tim Pemantauan Pematuhan SOP tersebut akan dipertingkatkan kepada hampir 20,000 orang anggota berbanding 13,795 orang ketika ini.
“Pemeriksaan juga akan melibatkan kawasan di luar bandar dan lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai berkumpul.”
Berhubung kawalan sempadan negara, Hamzah berkata tiga pasukan termasuk Op Benteng, APMM, dan polis marin akan digerakkan untuk memperketatkan pematuhan SOP dan pemantauan laluan-laluan panas yang menjadi tempat pendaratan pendatang asing memasuki negara secara haram.
“Manakala, JIM bersama JPN dan PDRM juga akan mempertingkatkan operasi penguatkuasaan secara bersepadu di kawasan-kawasan penempatan warga asing di seluruh negara,” katanya.
Bagi PKP penuh kali ini, Hamzah berkata bilik gerakan KDN akan beroperasi selama 24 jam bermula 1 Jun selain talian hotline disediakan untuk orang ramai.
“Untuk sebarang pertanyaan melibatkan KDN dan jabatan-jabatan di bawahnya berhubung pelaksanaan ‘lockdown’ kali ini, orang ramai boleh menghubungi bilik gerakan.”
Nombor talian hotline agensi berkaitan PKP
Bil | Kementerian/jabatan | No telefon |
1. | Kementerian dalam negeri | 03-8886 8110 03-8886 8126 |
2. | Polis Diraja Malaysia | 03-2266 3333 03-2266 3334 03-2031 9999 |
3. | Jabatan Penjara Malaysia | 03-8737 2342 |
4. | Jabatan imigresen Malaysia | 03-8880 1555 |
5. | Jabatan Pendaftaran Negara | 03-8880 7077 |
6. | Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia | 03-8943 4001 (Pusat Operasi Maritim-POMAR) 019-261 1833 (WhatsApp)03-8941 3140 (Maritime Rescue Coordination Centre- MRCC) |
7. | Jabatan Sukarelawan Malaysia | 03-8870 3692 |
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.