- Iklan -
Berita

Bicara kes rasuah visa presiden Umno bermula esok

Hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Umno 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Umno 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Perbicaraan kes rasuah bekas timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) akan bermula esok di Mahkamah Tinggi di Shah Alam dengan pendakwaan dijangka memanggil dua atau tiga saksi untuk memberi keterangan.

Perbicaraan itu akan didengar di hadapan hakim, Mohd Yazid Mustafa pada 9 pagi.

“Ya, bicara akan berjalan esok. Pihak kami dijangka memanggil dua atau tiga saksi,” kata Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran yang akan mengetuai pasukan pendakwaan ketika dihubungi.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik dan Hamidi Mohd Noh akan mewakili Zahid, 68.

Sebelum ini, Rozela memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan memanggil 15 saksi untuk memberi keterangan pada perbicaraan itu

Ia merupakan perbicaraan kedua presiden Umno itu selepas kes 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi yang masih berjalan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Zahid berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya, sebagai seorang pegawai badan awam iaitu menteri dalam negeri di kementerian dalam negeri (KDN), melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan di Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018 mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Zahid didakwa sebagai menteri dalam negeri mendapatkan untuk dirinya suatu benda berharga iaitu wang tunai S$1,150,000, RM3,000,000, €15,000 dan AS$15,000 tanpa balasan daripada syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Country Heights antara Jun 2015 dan Oktober 2017 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.